My Add

Friday 30 December 2011

PDRM sudah bersedia hadapi PRU ke-13

TAWAU, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah bersedia daripada semua aspek bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Salleh Mat Rasid. 

Beliau berkata, pasukan itu akan digerakkan sebaik sahaja menerima maklumat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Persiapan ini termasuk dari segi pegawai dan keanggotaan serta pengetahuan," katanya kepada pemberita selepas melawat Markas Pasukan Gerakan Am (PGA), di sini hari ini.

Mengenai penstrukturan semula fungsi Pasukan Gerakan Marin (PGM), Salleh berkata proses dijangka siap Januari ini. 

Beliau bagaimanapun menegaskan PGM tidak akan berkubur, tetapi diberi tugas tambahan yang sebelum ini dilaksana pasukan lain dalam PDRM. 

"Pihak kami kini sedang menjelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan fungsi PGM kepada anggota yang masih kekal dengan agensi ini selepas beberapa peranannya diambil alih Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya. 

Salleh berkata, di bawah penstrukturan terbabit, PGM Sabah dan Sarawak akan diletakkan di bawah pesuruhjaya polis kedua-dua negeri terbabit manakala di Semenanjung pasukan itu diletak di bawah ketua polis negeri. 

"Marin tetap ada. Saya nafikan dakwaan kononnya Marin sudah terkubur. Kita hanya serah perjawatan Marin kepada APMM sebanyak 570 keanggotaan, 60 buah bot dan kapal dan tujuh pangkalan. Sedikit sahaja. 

"Saya amat berbangga dengan pegawai Marin yang masih setia dan berada dengan PDRM. Bukan senang kita cari orang-orang yang mempunyai kesetiaan (kepada pasukan mereka) walaupun menerima tawaran menyertai agensi lain," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment