My Add

Friday 30 December 2011

Isu cerai: Jabatan agama macam buntu selesai masalah

Oleh ROSALINDA SAID
KUALA LUMPUR 29 Dis. - Pihak berkuasa agama seakan-akan sudah buntu untuk menyelesaikan masalah perceraian di kalangan pasangan Islam yang semakin meningkat kebelakangan ini.

Mereka mengakui tiada lagi jalan keluar bagi mengatasi isu itu sekiranya pasangan berkenaan sendiri gagal mengubah sikap dan keburukan diri masing-masing.

Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Negeri Selangor, Aluwi Parman berkata, pendekatan jabatan agama ketika ini sudah mencapai tahap maksimum kerana ia merangkumi segala aspek daripada praperkahwinan hingga proses perceraian.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) giat melaksanakan kursus serta program berkaitan praperkahwinan dan pasca perkahwinan.

"Tidak cukup dengan itu, pihak jabatan agama juga menawarkan khidmat nasihat dan runding cara keluarga yang seiring dengan keadaan semasa buat pasangan yang berdepan konflik.

"Di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) misalnya, terdapat pelbagai kursus seperti programSakinah, Rumahku Syurgaku dan Klinik Guaman Syarie diadakan pada setiap bulan sebagai panduan kepada pasangan dalam melayari alam rumahtangga," katanya ketika dihubungi di sini.  .

Terbaru, jelas Aluwi, pihak jabatan agama berusaha memantapkan setiap pendekatan yang digunakan dan salah satunya merupakan penambahbaikan terhadap Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam.

"Kursus praperkahwinan ketika ini sedang melalui beberapa penambahbaikan dari segi pengisian modul bagi disesuaikan dengan keadaan semasa dan ia dijangka dilaksanakan pada tahun depan.

"Berdasarkan segala pendekatan itu, boleh dikatakan pihak jabatan agama sudah berusaha sehabis baik dalam mengatasi masalah perceraian dan terserah kepada pasangan bagaimana mereka mahu melaksanakan setiap ilmu yang diajarkan itu," katanya.

Tambah beliau, jika perceraian merupakan jalan terbaik buat pasangan maka tiada apa-apa lagi yang boleh dilakukan pihak jabatan agama dalam membendung gejala itu.

Bagaimanapun, Aluwi berharap agar pasangan Islam akan lebih mengutamakan aspek kesabaran dalam melayari kehidupan berumahtangga selain berusaha mengubah watak buruk masing-masing untuk kebaikan bersama. - UM

No comments:

Post a Comment