My Add

Friday, 30 December 2011

IAM, Kumpulan Utusan bantu nelayan terlibat banjir

ZAWAHIR Abdullah (dua dari kanan) menyampaikan bantuan barangan kepada seorang nelayan yang terbabit dalam banjir kilat air masin di Kampung Kubang Golok, Bachok, semalam.

BACHOK, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Pertubuhan Bantuan Islam Malaysia (IAM) bersama Kumpulan Utusan menyampaikan bantuan kepada 21 keluarga nelayan yang terlibat dengan banjir kilat air masin berikutan fenomena air pasang besar di Kampung Kubang Golok dan Kuala Perupuk dekat sini semalam.

Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, bantuan barang keperluan dapur itu diharap meringankan beban nelayan yang hampir sebulan tidak dapat menangkap ikan disebabkan angin kencang dan laut bergelora.

Menurutnya, sumbangan itu adalah sebahagian dana RM50,000 hasil kutipan tabung yang dilancarkan bersama Kumpulan Utusan pada 29 November lepas untuk membantu mangsa bencana alam khususnya banjir di seluruh negara.

"IAM menggunakan pendekatan menyampaikan bantuan dari rumah ke rumah di samping meninjau keperluan lain dan masalah kemiskinan masyarakat secara lebih dekat.

"Ini termasuk menggunakan bot dan perahu untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di jajahan Pasir Mas yang tidak berpindah ke pusat pemindahan banjir.

"Mereka yang enggan berpindah ke pusat pemindahan banjir kebanyakannya mempunyai masalah yang tidak dapat dielakkan termasuk bilangan ahli keluarga terlalu ramai dan menghidap penyakit kronik seperti angin ahmar dan lumpuh," katanya selepas menyampaikan bantuan itu di Kubang Golok.

Hadir sama Timbalan Presiden IAM, Farouq @ Faraatika Zauji dan Pengerusi IAM Kelantan, Bustanol Ariffin Mohd. Kamal.

Zawahir berkata, setakat ini IAM bersama Kumpulan Utusan sudah mengagihkan bantuan kepada 500 anggota keluarga mangsa banjir di Kelantan yang disampaikan ke rumah masing-masing dan di dua pusat pemindahan banjir Kluang dan satu di Batu Pahat, Johor.

Beliau berkata, empat cawangan IAM iaitu di Kedah, Perak, Pahang dan Kelantan serta lebih 700 anggota sukarelawan IAM seluruh negara sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir yang dijangka berlarutan sehingga Januari ini.

"Dalam tempoh terdekat ini, IAM akan ke Kuching, Sarawak untuk menyampaikan bantuan yang sama termasuk membawa seorang chef yang dikhususkan untuk memasak hidangan jamuan kepada lebih 300 mangsa banjir di sana.

"Pada masa sama kita juga bersiap sedia untuk ke Kedah yang berkemungkinan menghadapi musibah itu sepanjang musim tengkujuh ini," katanya.

No comments:

Post a Comment