Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
SHAH ALAM, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) diingatkan agar tidak terlibat dengan Kempen Bebaskan Anwar 901 yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur bulan depan.
Ini kerana sebagai mahasiswa mereka perlu patuh kepada undang-undang negara dan tidak menjadi alat pihak yang tidak menghormati undang-undang.
Menurut Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar, para mahasiswa UiTM sudah dididik untuk menjadi seorang yang mampu berfikir dan menilai sesuatu perkara sama ada ia mengikut laras perundangan atau sebaliknya.
''Saya memberi amaran keras kepada pelajar-pelajar UiTM supaya tidak terlibat dengan perhimpunan yang jelas mempunyai agenda yang boleh merosakkan keamanan negara.
''Kita ada 200,000 pelajar di semua UiTM seluruh negara mungkin ada seorang dua yang akan terlibat dan saya berharap mereka berfikir sebelum bertindak menyertai apa-apa perkara yang dilarang undang-undang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakulti Muzik UiTM dengan The Actors Studio.
Hadir sama Penerbit Eksekutif The Actors Studio, Faridah Merican dan Pengarah Artistiknya, Joe Hafsham.
Sahol Hamid berharap mahasiswa UiTM yang dianggap seperti anak sendiri tidak mengingkari peringatan yang diberikan kerana perhimpunan haram kebiasaannya akan berakhir dengan demonstrasi yang sukar dikawal. - UM
No comments:
Post a Comment