My Add

Thursday 29 December 2011

Pegawai polis kena tetak kini stabil

YAN,  KHAMIS, 29 Disember, 2011: Keadaan Inspektor Mohd. Firdhaust Zainal, 29, yang cedera parah akibat ditetak Selasa lalu, kini stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Yan, DSP Ismail Abu berkata mangsa kini berada dalam keadaan baik setelah menjalani pembedahan pada bahagian kaki kiri di HSB semalam.

"Keadaan Mohd. Firdhaust bertambah baik,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Firdhaust yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Yan cedera pada bahagian kaki kiri akibat ditetak dengan sebilah parang oleh seorang lelaki dalam pergelutan di Kampung Gelam 2, Alor Pudak, Bukit Besar di sini.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, seorang lagi pegawai yang juga berpangkat Inspektor mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Sebelum kejadian, sepasukan 12 anggota dan pegawai polis ke rumah suspek yang berusia 45 tahun untuk menyerahkan saman kepada suspek berhubung satu kes lain.

Bagaimanapun suspek yang melihat kehadiran polis mengambil parang panjang sebelum menyerang pegawai serta anggota polis itu serta merosakkan kenderaan mereka yang mana jumlah kerosakan yang dialami kenderaan polis itu dianggarkan RM2,500. 


Suspek tetak polis diarah jalani pemeriksaan mental

Di SUNGAI PETANI, Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang lelaki dihantar ke Hospital Bahagia untuk pemeriksaan mental sebelum hukuman dijatuhkan apabila dia mengaku bersalah menyerang dan menetak seorang pegawai polis di Yan, dekat sini, Selasa lalu.

Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim mengarahkan Hashim Saad, 45, menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan di Tanjung Rambutan, Perak, selama sebulan dan menetapkan 29 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Ketika ditanya oleh hakim mengenai tahap kesihatan mentalnya, tertuduh mengaku mengalami sedikit masalah untuk menjawab pertanyaan itu.

Hashim didakwa secara sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Inspektor Mohd. Firdhaus Zainal, 29, dengan menggunakkan sebilah parang sehingga menyebabkan empat urat di pergelangan kakinya terputus.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gelam 2, Alor Pudak, Bukit Besar Yan, dekat sini, pada kira-kira 11 pagi, 27 Dis lalu.

Bagi pertuduhan itu, Hashim didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment