Kepemimpin Barisan Nasional mampu kembalikan era kecemerlangan
Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Norrasyidah Arshad
SHAH ALAM, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Rakyat Selangor perlu menzahirkan kekecewaan mereka terhadap kerajaan pimpinan pakatan pembangkang di negeri ini dengan memilih semula kepimpinan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pada masa sama, jentera BN di Selangor termasuk mereka di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen perlu menghayati sokongan yang bertambah ini dengan bekerja keras serta mengetepikan perselisihan peribadi dan perbuatan cah keting dalam memastikan kejayaan BN.
"Pada PRU-12, rakyat Selangor membuat keputusan yang terpaksa dibayar dengan harga cukup mahal. Rakyat Selangor memberi peluang kepada pembangkang menjadi kerajaan di negeri ini.
“Hakikat yang menjadi realiti di Selangor, mereka menyesal dengan keputusan PRU lalu, disebabkan perasaan marah terhadap seseorang dan pemimpin tempatan di kawasan mereka.
“Tetapi bila marahkan nyamuk kelambu dibakar, mereka terpaksa membayar harga mahal," katanya ketika merasmikan Karnival Sayangi Selangor, di i-City, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengarah Operasi Karnival Sayangi Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong dan pemimpin kanan BN Selangor.
Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, BN kini memberi tumpuan kepada golongan muda atau generasi X dan Y yang mewakili 38.8 peratus pengundi, yang sudah sedar transformasi dilakukan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Selangor tidak terkecuali. Kita yakin kumpulan 38.8 peratus itu bergerak bersama BN kerana pihak satu lagi (pembangkang) tidak dapat menyampaikan perubahan, hanya sekadar retorik pidato," katanya.
Ahmad Zahid berkata, karnival berkenaan juga pemangkin untuk menjadi kayu ukur sejauh mana program diatur BN mendapat sambutan orang ramai.
Katanya, kira-kira 100,000 orang sudah mengunjungi karnival ini dan dijangka sehingga Sabtu ini, bilangan itu mencecah hingga 300,000 orang.
Katanya, sambutan itu juga menunjukkan mandat rakyat Selangor terhadap BN untuk menawan semula negeri itu.
Karnival Sayangi Selangor bermula kelmarin hingga Sabtu ini dengan acara kemuncaknya, Sambutan Tahun Baru 2012 akan disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Berita Harian
No comments:
Post a Comment