My Add

Friday 30 December 2011

ISN perluas pencarian bakat baru ke luar bandar

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 30 Disember, 2011: Institut Sukan Negara (ISN) mempunyai peranan besar dalam mencungkil bakat baru peringkat akar umbi menerusi program pencarian yang giat berjalan di seluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz. 

“Usaha berkenaan dikendalikan secara berterusan oleh ISN dengan kerjasama Kementerian Pelajaran di sekolah terpilih setiap tahun. ISN mendapat maklumat balas positif daripada ibu bapa dan pelajar yang menunjukkan minat dalam sukan.

"Ini membuktikan masyarakat Malaysia memilih sukan sebagai gaya hidup sihat dan ibu bapa juga mula percaya bahawa sukan boleh dijadikan sebagai kerjaya hidup untuk masa depan anak mereka," katanya kepada BERNAMA hari ini.

Ramlan berkata, selain program pencarian bakat baru dan program cari juara yang sedang berjalan di seluruh negara, ISN bercadang untuk memperluaskan lagi program itu bagi membuka lebih peluang terutamanya kepada pelajar di luar bandar. 

“Bidang tugas ISN hanya membekalkan bakat baru kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk digilap menjadi atlet negara. 

“Usaha itu sejajar dengan Dasar 1Murid 1Sukan yang dicetuskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran,” katanya. 

Dasar itu bertujuan memantapkan pembangunan sukan peringkat sekolah selaras program terdahulu iaitu Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS), khusus bagi membangunkan atlit sekolah cemerlang yang dilaksanakan sejak Julai 2008. 

Ramlan berkata, pelajar yang tidak berjaya melepasi tapisan program pencarian bakat tetapi mempunyai minat dalam sukan turut diberi peluang dan ISN sedia menghulurkan bantuan kepada pelajar terbabit jika mereka membuat permohonan. 

"Kita memberi galakan kepada ibu bapa yang berminat untuk menjadikan anak mereka sebagai ahli sukan dengan bantuan kepakaran sains sukan yang ada pada ISN dengan bayaran rendah," katanya. 

Ibu bapa yang berminat boleh menghubungi terus ISN menerusi laman web http://www.isn.gov.my. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment