My Add

Thursday 29 December 2011

Pembahagian kerusi DAP-PKR Johor belum selesai

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 29 Disember, 2011: Perbincangan mengenai pembahagian kerusi yang akan ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat dan DAP di Johor pada pilihan raya umum ke-13 belum selesai.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng ketika dihubungi pemberita hari ini bagaimanapun menafikan hubungan parti itu dengan DAP, rakannya dalam pakatan pembangkang, berada dalam keadaan tegang berikutan isu pembahagian kerusi antara kedua-dua parti itu.

“Biasalah, dia (DAP Johor) mahukan kerusi saya (PKR Johor) dan saya pula mahukan kerusi dia. Perbincangan masih berjalan, apabila pemimpin pusat membuat keputusan, kita semua kena akur. Itu adalah disiplin parti,” katanya.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata, secara amnya bilangan kerusi yang akan ditandingi oleh PKR Johor pada pilihan raya akan datang ini adalah sama seperti mana pada pilihan raya umum pada 2008.

Satu daripada kerusi yang kini dikatakan menjadi “rebutan” antara PKR dan DAP Johor adalah kerusi Parlimen Gelang Patah yang kini disandang oleh Tan Ah Heng daripada Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum 2008 dan 2004, kerusi itu ditandingi oleh calon PKR, namun kali ini terdapat petanda bahawa DAP mahukan kerusi itu kerana alasan calonnya mempunyai peluang lebih tinggi berbanding PKR untuk merampas kerusi itu daripada BN.

Bagaimanapun, Jui Meng berkata, walaupun DAP yakin untuk merampas kerusi itu Patah daripada BN, sokongan rakyat terhadap calon tertentu pada pilihan raya umum merupakan sesuatu yang sukar dibaca.

Selain Gelang Patah, DAP dan PKR Johor dipercayai turut mahu bertanding bagi kerusi DUN Johor Jaya yang kini disandang oleh Tan Cher Puk daripada MCA. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment