My Add

Wednesday 27 February 2013

Kemboja setuju RISDA buka ladang getah


 *ABD.. Rahim Tamby Chik meletakkan bahan rangsangan di batang pokok getah sempena pelancaran Kempen Penggunaan Bahan Rangsangan Lateks di Air Mawang, Johol dekat Kuala Pilah, semalam sambil disaksikan Hasan Malek (kanan). - BERNAMA

KUALA PILAH, SELASA, 26 Februari, 2013: Kerajaan Kemboja, pada dasarnya, bersetuju dengan cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) membuka ladang getah seluas 20,000 hektar di negara itu.

Pengerusi RISDA, Tan Sri Dr. Abd. Rahim Tamby Chik berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan, telah menubuhkan dua syarikat di sana untuk tujuan itu.

"Kita juga telah mengkaji kesesuaian tanah di situ dan berharap boleh bangunkan projek ini berdasarkan tanahnya sama dengan Malaysia.

"Kita harap kita boleh capai, apa yang kita capai di negara kita," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai perkembangan rancangan RISDA untuk meneroka pelaburan baharu dengan kerajaan Kemboja.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran kempen penggunaan bahan rangsangan lateks 2013 peringkat daerah Kuala Pilah oleh Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek, di Kampung Eyor, Air Mawang dekat sini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan bila projek ini akan bermula.

Rahim berkata, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, bagi membincangkan projek terbabit.

Katanya, kerajaan Kemboja menyambut baik kehadiran RISDA yang memiliki rekod kejayaan dalam membangunkan tanah di Malaysia, terutama membabitkan industri getah dan kelapa sawit.

Sementara itu, Rahim berkata, penggunaan bahan rangsangan lateks 'Etefon' mampu meningkatkan pengeluaran lateks antara 15 dan 47 peratus, sekali gus menambah pendapatan pekebun kecil getah di negara ini.

Beliau berkata, bagaimanapun bilangan pekebun kecil menggunakan bahan itu masih kecil kerana ramai yang berasa ragu-ragu dengan penggunaannya.

"Di sini saya ingin menjelaskan bahawa hasil kajian RISDA mendapati penggunaan cecair rangsangan ini adalah selamat dan efektif jika mengikut amalan pertanian yang baik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment