My Add

Wednesday 27 February 2013

Manifesto pembangkang seperti kisah fantasi Alice in Wonderland: Shahrizat

SEREMBAN, RABU, 27 Februari, 2013: Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 yang dikemukakan pembangkang seperti kisah fantasi kanak-kanak popular, Alice in Wonderland kerana menawarkan janji-janji fantasi yang tidak mungkin mampu ditunaikan.

Beliau berkata, semua perkara dalam manifesto itu adalah pembohongan dan semata-mata hanya gimik politik untuk "menyedapkan" telinga rakyat demi meraih undi.

"Apabila saya baca dan amati manifesto mereka, saya geleng kepala kerana bagi saya ia satu gimik politik yang paling melampau dan saya rasa gimik politik paling teruk yang dilakukan oleh mereka (pembangkang) dan ia tidak bertanggungjawab.

"Wanita (UMNO) yang selalu turun padang melawat rumah ke rumah juga mendapat maklum balas dari rakyat mengenai manifesto itu dan kita dapati rakyat juga geleng kepala," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan bantuan kepada seorang buruh binaan yang mengalami kemalangan, Wong Kok Leong di rumahnya di Taman Bunga Blossom, di sini, hari ini.

Shahrizat diminta mengulas mengenai manifesto PRU-13 pembangkang yang dibentangkan, Isnin lalu.

Katanya, selain boleh menyebabkan negara bankrap jika dilaksanakan, manifesto pembangkang itu juga dilihat seolah-olah memandang remeh kebajikan rakyat kerana langsung tidak menyatakan bagaimana mereka mahu membantu rakyat yang susah.

Katanya, pembangkang juga seperti menganggap soal kebajikan rakyat adalah tidak mustahak, walaupun sebelum ini mereka sering menyatakan diri mereka sebagai memperjuang nasib rakyat dan mahu menubuhkan negara berkebajikan.

Dalam pada itu, Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melahirkan rasa terkilan dan sedih dengan kenyataan dua pemimpin tertinggi PAS yang mengibaratkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) seperti haiwan dan penyampai bantuan itu sebagai Firaun.

Katanya, kenyataan itu sekali gus menunjukkan bahawa PAS tidak mencerminkan perjuangan mereka yang kononnya mahu menubuhkan negara berkebajikan untuk membantu rakyat.

"Kalau membantu rakyat itu boleh digambarkan seperti itu jadi apakah konsep kebajikan mereka yang sebenarnya? Kalau tidak tolong orang susah, kebajikan macam mana yang mereka perjuangkan?".

Pada lawatan itu, Shahrizat yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara menyampaikan sumbangan RM2,000 dan barangan keperluan harian kepada Wong bagi meringankan beban keluarganya selepas tidak bekerja akibat kemalangan di tempat kerja, Disember lalu.

Akibat kemalangan itu, Wong, 48, yang mempunyai seorang isteri dan dua anak yang masih bersekolah mengalami patah tulang pelvis sehingga menjejaskan sistem pundi kencingnya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment