Malaysia tuan rumah Wanita Global 2013
BANGI, RABU, 27 Februari, 2013: Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Wanita Global 2013 (GSW) untuk menyediakan platform bagi meneroka strategi praktikal dan amalan terbaik dalam memajukan peluang ekonomi wanita di seluruh dunia.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, sidang kemuncak itu dianjur bersama GSW, Kementerian Perdagangan Antrabangsa dan Industri serta Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.
"Perwakilan dari lebih 70 negara telah mengesahkan penyertaan dalam acara ini," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Legasi Wanita - Malaysia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.
Bertemakan "Wanita: Mencipta Ekonomi Baharu", sidang kemuncak tiga hari itu dijadual diadakan di Kuala Lumpur mulai 6 Jun ini.
Rosmah berkata, sidang kemuncak itu turut menarik lebih 80 penceramah dari seluruh dunia untuk berkongsi pengalaman mereka dalam pelbagai tajuk berkaitan wanita dalam perniagaan.
"Sidang kemuncak itu menyediakan peluang untuk wanita memulakan perniagaan atau membuat pelan kerjaya mereka," katanya.
Rosmah berkata, sidang kemuncak itu akan turut menawarkan delegasi peluang memasuki pasaran Malaysia melalui sesi khas oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment