*NOR Saparinat dan Abdul Syukur Suid menunjukkan parut di bahagian belakang Nur Amiera Aleiyana yang pernah menjalani pembedahan September tahun lalu dan akan menjalani pembedahan kedua yang dijadualkan Julai ini di Kubang Pasu, semalam. |
KUBANG PASU, RABU, 27 Februari, 2013: Sepasang suami isteri buntu memikirkan kos kewangan bagi membiayai pembedahan anak bongsu mereka yang menghadapi masalah injap jantung dan saluran darah.
Buruh, Abdul Syukur Suid, 36, berkata, anak bongsunya, Nur Amiera Aleiyana yang berusia enam bulan mengalami saluran darah dan oksigen yang besar serta saluran darah terbalik.
Katanya, Nur Amiera Aleiyana mengalami masalah tersebut sejak dilahirkan dan pernah menjalani pembedahan pertama di Institut Jantung Negara (IJN) pada September lalu.
"Selepas dilahirkan, dia (Nur Amiera Aleiyana) selalu kelihatan penat. Selepas doktor membuat pemeriksaan lanjut, didapati mengalami masalah dengan injap dan saluran darah.
"Kos pembedahan yang pertama dulu lebih RM30,000 dan dianggarkan hampir RM35,000 untuk diperlukan bagi pembedahan kali kedua yang dijadualkan Julai ini jika anak saya sihat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Telaga Batu, Mukim Naga di sini hari ini.
Abdul Syukur yang memperoleh pendapatan sekitar RM700 hingga RM800 sebulan juga terpaksa menyara persekolahan dua orang anaknya yang berusia 10 dan lapan tahun manakala isterinya, Nor Saparinat Nordin, 30, tidak bekerja.
Dia berkata, kos pembedahan anaknya sebelum ini menggunakan wang simpanannya dan turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Saya juga memohon bantuan JKM untuk pembedahan kali ini dan berharap agensi itu dapat membantu meringankan kos perbelanjaan tersebut.
"Kalau tidak dapat tampung kos pembedahan pun, cukuplah sekadar sumbangkan kos ulang alik ke IJN yang juga memerlukan banyak wang," katanya.
Abdul Syukur turut bersyukur kerana sentiasa dibantu oleh rakan-rakannya ketika dia dalam kesusahan dan memerlukan bantuan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Abdul Syukur di 012- - UTUSAN5586094 atau memasukkan sumbangan ke nombor akaun Bank Islam 02105020110302 atas namanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment