My Add

Thursday 28 February 2013

Thailand sedia berdamai

Yingluck Shinawatra Najib Tun Razak 

BANGKOK, RABU, 27 Februari, 2013: Thailand mahu mengadakan rundingan damai dengan kumpulan pemisah, ekoran insiden pemberontakan dan keganasan yang semakin meningkat di selatan di negara ini, kata ketua keselamatan kerajaan, hari ini.

Pelawaan itu dibuat ekoran serangan yang semakin meningkat di selatan negara ini yang bersempadan dengan Malaysia, menjelang pertemuan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan rakan sejawatnya dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak, esok.

Kedua-dua pemimpin itu akan berbincang untuk menamatkan pemberontakan yang berlarutan sejak sembilan tahun lalu yang telah mengorbankan lebih 5,500 orang dan kemungkinan Malaysia menjadi tuan rumah bagi rundingan antara kerajaan dengan kumpulan militan.

"Saya harap rundingan ini akan dapat diadakan secepat mungkin,'' kata Leftenan Jeneral Paradon Pattanathabutd, Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand (NSC), yang akan menyertai Yingluck pada rundingan di Kuala Lumpur minggu ini.

"Malaysia akan menguruskan (rundingan itu) dengan mengatur tempat (rundingan) tetapi tidak akan memainkan peranan dalam rundingan tersebut,'' katanya, sambil menegaskan tentang keperluan ''ketua-ketua tegar militan ... yang aktif'' dikenal pasti dan dihubungi untuk mengadakan rundingan itu.

''Jika tidak, masalah itu tidak akan dapat diselesaikan,'' katanya.

Wilayah selatan Thailand sering mengalami serangan bom dan kejadian tembakan curi oleh kumpulan militan yang menuntut autonomi yang lebih luas, yang ditolak sama sekali oleh kerajaan Thailand. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment