45,505 layak jalani saringan kesihatan percuma
MELAKA, RABU, 27 Februari, 2013: Sebanyak 45,505 pekerja lelaki dan wanita berumur 40 tahun ke atas dari sektor swasta di negeri ini layak menjalani pemeriksaan saringan kesihatan percuma yang dijalankan di 2,447 klinik swasta berdaftar di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pemeriksaan yang secara keseluruhannya menyediakan peruntukan sebanyak RM4.236 juta daripada kerajaan itu melibatkan 7,356 buah majikan di seluruh negeri ini.
Menurutnya, pemeriksaan kesihatan perlu diberi perhatian khusus oleh majikan dan pekerja bagi membolehkan pencegahan serta rawatan awal dapat dilaksanakan berikutan masih ramai lagi tidak menitikberatkan aspek itu sehingga ia menjadi kronik.
''Saringan awal ini membabitkan pemeriksaan fizikal, ujian darah dan air kencing, pemeriksaan pap smear dan mamogram serta khidmat nasihat yang masing-masing melibatkan kos sebanyak RM205 bagi wanita manakala RM85 bagi lelaki," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Saringan Kesihatan dan Kempen Kesedaran Pemeriksaan Awal Terhadap Kanser Payudara (Mamogram) di Kampung Morten, di sini semalam.
Program anjuran Hospital Pakar Putra itu turut mendapat kerjasama kerajaan negeri, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Hadir sama Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Hospital Pakar Putra, Datuk Ramlah Abas; Pegawai Eksekutifnya, Radhuana Salleh dan Pengarah LPPKN, Bibi Azlilee Abdullah.
Mohd. Ali yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Hospital Pakar Putra berkata, program seumpama itu secara langsung telah memberi maklumat lebih jelas mengenai kepentingan penjagaan kesihatan di kalangan masyarakat negeri ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment