My Add

Thursday 28 February 2013

Negara boleh muflis - Dr. Mahathir
 
 *SITI Hasmah Mohd. Ali sambil disaksikan Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri), Zulkifli Shariff (tiga dari kiri) dan Abdul Aziz Jaafar (tiga dari kanan) melakukan simbolik upacara penamaan dan pelancaran kapal latihan kedua 'Teguh Samudera' milik TLDM (gambar kecil) di limbungan milik NGV Tech di Kampung Sijangkang, Kuala Langat, semalam.

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
KUALA LANGAT, RABU, 27 Februari, 2013: Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 pakatan pembangkang merupakan janji-janji yang tidak realistik kerana dirangka pihak yang tidak pernah menjadi kerajaan di peringkat Pusat.

Bekas Perdana Menteri berkata, manifesto pakatan pembangkang itu sekiranya dilaksanakan akan menyebabkan negara berdepan krisis kewangan termasuk risiko muflis.

Menurut beliau, manifesto itu memperlihatkan kerajaan perlu berbelanja lebih banyak sedangkan pendapatan negara diturunkan menerusi pengurangan pelbagai cukai.

"Dia (pembangkang) punya manifesto kalau diringkaskan, hendak kurangkan pendapatan kerajaan dengan turunkan cukai, hapuskan kadar tol dan sebagainya.

"Manifesto itu jika dilaksanakan, negara akan jadi muflis seperti Greece yang berdepan dengan masalah kerana mereka belanja banyak sedangkan pendapatan negara sedikit. Kalau kita nak jadi bankrap, kita bagilah semua percuma.

"Malah, sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan manifesto itu bukan perjanjian. Habis, yang ditulis itu apa?" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri upacara penamaan dan pelancaran kapal latihan kedua 'Teguh Samudera' milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di limbungan milik syarikat pembinaan kapal tempatan, NGV Tech Sdn. Bhd. (NGV Tech) di Kampung Sijangkang, di sini hari ini.

Upacara pelancaran yang disempurnakan isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali itu turut disaksikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Pengerusi Eksekutif NGV Tech, Datuk Zulkifli Shariff.

Kapal tersebut merupakan yang kedua dibina syarikat itu untuk tujuan latihan TLDM selepas kapal Gagah Samudera dilancarkan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor pada 14 Disember tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, mengulas pencerobohan kumpulan warga asing yang mendakwa sebagai tentera Diraja Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah, Dr. Mahathir berkata, beliau yakin perkara itu mampu diselesaikan secara baik tanpa sebarang pertumpahan darah. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment