My Add

Wednesday 27 February 2013

Sindiket curi kereta mewah di Pulau Pinang dan Selangor tumpas

KEPALA BATAS, RABU, 27 Februari, 2013: Polis menumpaskan sindiket mencuri dan menjual kereta mewah di Pulau Pinang dan beberapa negeri lain apabila menahan lapan anggota sindiket itu termasuk tiga wanita di Butterworth, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim, berkata susulan penahanan lapan individu termasuk ketua kumpulan berusia 20 hingga 30 tahun itu, polis menemui semula tiga kereta curi bernilai RM500,000.

"Kami tubuhkan satu pasukan khas selepas sebuah kereta Toyota Vellfire dilapor hilang dari sebuah kedai menjual kereta terpakai di Jalan Bagan Jermal, di sini 2 Februari lalu.

"Bertindak atas maklumat, kami menahan seorang lelaki dan dua wanita di Jalan Assumption pada 5 Februari dan susulan itu kami menyerbu sebuah rumah di Apartment Jalan Harbour Place dan menahan dua lagi lelaki pada hari yang sama," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, tiga lagi termasuk seorang wanita ditahan jam 2 petang pada hari dan di rumah yang sama ketika mereka datang untuk mengambil kereta Toyota itu.

"Mereka datang dari Johor untuk mengambil kereta Toyota Vellfire yang dicuri itu kerana telah ada pembeli dan susulan penahanan mereka polis menemui semula tiga kereta iaitu Vellfire, Harrier dan Mercedes Benz 240 yang diparkir di tempat kereta apartment itu," katanya.

Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati kereta Harrier dan Mercedes Benz itu dilapor hilang di Kajang dan Bukit Jelutong, Selangor baru-baru ini dan sindiket terbabit dipercayai aktif mencuri kereta di Pulau Pinang, Selangor, Johor dan beberapa negeri lain sejak beberapa bulan lalu.

Beliau berkata, selain mencuri dan menjual kereta, sindiket terbabit juga membuat cukai jalan palsu dan nombor kenderaan palsu untuk digunakan pada kereta yang dicuri serta dijual kepada orang ramai.

"Semasa serbuan di rumah yang dijadikan pusat operasi sindiket itu, polis merampas wang tunai RM16,000, sejumlah wang kertas palsu, set komputer, pencetak, lima keping cukai jalan palsu, sepaket dadah dan pelbagai alatan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit turut terbabit dengan beberapa kegiatan jenayah lain termasuk memalsukan wang kertas dan pecah rumah.

Abdul Rahman berkata, siasatan awal polis mendapati kereta mewah berharga lebih RM100,000 yang dicuri kumpulan itu diubah suai dan dijual dengan harga antara RM10,000 dan RM30,000.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati beberapa anggota sindiket itu positif dadah dan mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan curi dan simpan barang curi, samun serta dadah.

Sementara itu, dalam perkembangan lain polis telah mengenalpasti tiga perompak yang melarikan wang RM130,000 daripada seorang pengurus syarikat binaan yang baharu mengeluarkan wang untuk membayar gaji pekerjanya di Taman Bagan di sini, Isnin lalu.

"Mereka yang memakai pakaian warna biru menyerupai anggota penguatkuasa bukan anggota mana-mana badan penguatkuasa atau polis sebaliknya menyamar dengan memakai pakaian itu," katanya.

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa yang berusia 34 tahun bersama rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Raja Uda, di sini selepas mengeluarkan wang sebanyak RM150,000 daripada sebuah bank di Jalan Inderawasih. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment