My Add

Wednesday 27 February 2013

Perdagangan Malaysia-Myanmar cecah RM3 bilion

KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Februari, 2013: Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Myanmar dijangka mencecah RM3 bilion, menjelang akhir tahun, dirangsang oleh pertumbuhan ekonomi menggalakkan yang dicatatkan oleh kedua-dua negara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Kamarudin Hassan berkata, usaha-usaha seterusnya untuk meliberalkan ekonomi yang diambil oleh kerajaan Myanmar, akan merancakkan dengan ketaranya eksport barangan Malaysia ke negara itu.

"Dilihat pada rekod pertumbuhan yang lalu, saya amat yakin angka RM3 bilion itu boleh dicapai tahun ini," kata beliau kepada pemberita di luar majlis seminar pelaburan Myanmar, di sini hari ini.

Pergerakan barangan dan perkhidmatan antara Malaysia dan Myanmar bernilai RM2.74 bilion tahun lepas.

Eksport Malaysia mencatatkan lonjakan 27.3 peratus kepada RM2.17 bilion, sementara import pula berjumlah RM0.57 bilion.

Mengenai pelaburan, Kamarudin berkata, syarikat-syarikat Malaysia seharusnya lebih agresif dalam mengambil kesempatan ke atas peluang-peluang meluas yang ada di Myanmar, dan seiring dengan objektif terbaharu negara untuk mengembangkan ekonomi dan meningkatkan penyertaan asing.

"Myanmar memerlukan jumlah pembangunan infrastruktur yang tinggi. Ini melibatkan pembinaan jalan raya, lebuh raya, lapangan terbang dan bangunan komersial yang lain.

"Dan di sinilah syarikat-syarikat Malaysia boleh wujudkan ruang khusus untuk diri mereka, kerana kita mempunyai beberapa pemaju infrastruktur ter baik di Malaysia," tambah beliau.

Tahun lepas, pelaburan Malaysia di Myanmar berjumlah RM3.18 bilion dan kebanyakannya dalam bidang minyak dan gas, perhotelan, plastik dan makanan laut.

Antara syarikat-syarikat utama Malaysia di Myanmar ialah Labuan Re, Lumber Mart Sdn. Bhd., Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Sapura Crest Petroleum Sdn. Bhd., Scansia Sdn. Bhd. dan UMW Holdings Bhd. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment