My Add

Tuesday 5 March 2013

220 NGO desak kerajaan siasat dalang

Oleh HAFIZHAN RAHMAT
KUALA LUMPUR, ISNIN, 04 Mac, 2013: Kira-kira 220 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul secara aman di Taman Medan dekat sini bagi mendesak kerajaan menyiasat dalang utama yang menyebabkan berlakunya insiden berdarah di Lahad Datu, Sabah.

Pengerusi Penganjur Himpunan Ayahanda dan NGO Negeri Selangor, Datuk Mohamad Abdullah berkata, himpunan tersebut juga bertujuan meluahkan perasaan sedih, marah dan menyentuh jiwa terhadap pelbagai peristiwa yang telah melanda negara kebelakangan ini.

Menurut Mohamad, pihaknya kecewa dengan sikap segelintir pemimpin pembangkang yang sering mempolitikkan sesuatu perkara termasuk keselamatan negara sekali gus menggugat kestabilan ekonomi, politik dan sosial.

"Kami pelbagai NGO mendesak pihak berkenaan agar tidak memutar-belit fakta yang boleh mengelirukan rakyat semata-mata untuk memancing undi.

"Kami turut mendesak agar Ahli Parlimen Batu, Tian Chua memohon maaf secara terbuka kepada seluruh keluarga anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden berkenaan dan seluruh rakyat Malaysia atas keterlanjuran kata-kata biadabnya dan tidak boleh diterima," katanya ketika ditemui.

Turut serta dalam perhimpunan berkenaan kira-kira 300 wakil NGO seluruh Selangor.

Selain Majlis Permuafakatan Ayahanda, antara yang turut menyertai perhimpunan berkenaan adalah Pertubuhan Kebajikan Keris Emas Malaysia, Pertubuhan Api Sejagat dan Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibah.

Tidak ketinggalan, Gabungan Khalifah Baiah Semalaysia, Gagasan Pembela dan Kebajikan Ummah, Persatuan Veteran Tentera Melayu serta Pertubuhan Kebangsaan Melayu Islam Perdana.

Tambah Mohamad pihaknya juga akan menghantar memorandum berhubung perkara yang telah diperbincangkan pada perhimpunan berkenaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tanda sokongan padu NGO terlibat terhadap kepimpinan kerajaan Barisan Nasional. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment