My Add

Saturday 2 March 2013

44 orang maut di Bangladesh

DHAKA, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Sekurang-kurangnya 44 orang maut dalam rusuhan yang tercetus selepas pemimpin parti Jamaat-e-Islami dijatuhi hukuman mati kerana didapati terlibat dengan jenayah berkaitan perang kemerdekaan Bangladesh pada 1971.

Delwar Hossain Sayedee, 73, dijatuhi hukuman mati semalam kerana didapati terlibat dengan pembunuhan beramai-ramai, rogol dan melakukan kekejaman ketika perang selama sembilan bulan ke atas Pakistan.

Keputusan itu menyebabkan penyokongnya mengadakan tunjuk perasaan jalanan, menyerang pejabat kerajaan dan merosakkan landasan kereta api, sekali gus mengakibatkan berlakunya pertempuran dengan polis.

Penunjuk perasaan turut membakar berpuluh-puluh kediaman milik penyokong pro-kerajaan.

Polis bertindak balas dengan melepaskan tembakan peluru getah dan menggunakan gas pemedih mata.

Menurut polis dan saksi hari ini, sekurang-kurangnya 42 orang, termasuk enam anggota polis terbunuh dalam insiden rusuhan itu.

Kerajaan berkata, pasukan keselamatan diletakkan pada tahap berjaga-jaga peringkat tinggi di seluruh negara selepas penyokong Sayedee dan parti Jamaat merancang mengadakan lebih banyak bantahan pada hari ini.

Sebanyak 10,000 pasukan separa tentera pengawal sempadan turut ditempatkan bagi meningkatkan kawalan keselamatan, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Sayedee didapati bersalah atas lapan daripada 20 tuduhan yang dikenakan terhadapnya, tetapi peguamnya, Abdur Razzak berkata, keputusan itu yang disifatkannya sebagai bermotifkan politik dan akan mengemukakan rayuan. - AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment