My Add

Saturday 2 March 2013

Letupan bom di selatan Thai


 *PASUKAN unit bom Thailand memeriksa tempat kejadian bom motosikal yang
 dilakukan oleh kumpulan militan di hadapan sebuah pasar di wilayah
Narathiwat, semalam.

NARATHIWAT, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Tidak sampai sehari selepas kerajaan Thailand menandatangani rundingan damai dengan satu daripada kumpulan pemisah di selatan Thailand, satu letupan bom meletup di wilayah itu hingga mencederakan enam orang.

Polis berkata, bom yang disembunyikan di dalam sebuah motosikal meletup di luar pasar yang sibuk di bandar Narathiwat, dalam kawasan yang diisytihar sebagai 'zon selamat' kerana memiliki kawalan keselamatan yang ketat.

Insiden itu berlaku pada hari ini selepas kerajaan Thailand bersetuju mengadakan rundingan dengan Barisan Revolusi Nasional, satu daripada kumpulan pemisah di wilayah selatan negara ini, semalam.

Polis mengesyaki letupan itu dilakukan pemisah sebagai tindak balas kepada persetujuan yang dicapai di antara kedua-dua pihak.

"Kami percaya insiden itu didalangi pemisah yang mahu menunjukkan kuasa mereka dan mencabar kerajaan," kata Timbalan Ketua Penyiasat Polis Narathiwat, Somchai Panomuppakarn.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra menolak dakwaan itu sambil berkata, proses untuk menghentikan keganasan mengambil masa yang lama.

"Letupan seperti ini biasa berlaku dan ia bukan tindak balas terhadap kerajaan. Keputusan semalam tidak bermakna keganasan akan berhenti serta-merta," katanya.

Antara mangsa yang cedera dalam insiden terbaharu itu adalah seorang lelaki berusia 66 tahun yang kini kritikal, empat wanita dan seorang askar. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment