My Add

Thursday 21 March 2013

Agong kurnia surat lantikan penggal kelima YDP Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, RABU, 20 Mac, 2013: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Ini merupakan lantikan untuk penggal kelima bagi Abdul Rahman, 75, berkuat kuasa 1 Mei ini hingga 30 April 2015.

Istiadat yang berlangsung di Istana Negara disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Dilahirkan pada 15 April 1938 di Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas, Pulau Pinang, Abdul Rahman mula dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang ketujuh pada 17 April 2001 dan seterusnya dilantik untuk memegang jawatan sama pada 1 Mei 2005, 1 Mei 2009 dan 1 Mei 2011.

Abdul Rahman yang kini Canselor Universiti Tenaga Nasional, berkahwin dengan Toh Puan Majimor Shariff dan dikurnia empat anak. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment