My Add

Sunday 3 March 2013

Amat malang negara ada ulama seperti Nik Abdul Aziz

Oleh ASMA HANIM MAHMOOD
KOTA BHARU, SABTU, 02 Mac, 2013: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berpendapat amat malang sekali apabila seorang ulama seperti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selalu bercakap mengikut perasaan sehingga sanggup melempar pelbagai gelaran kepada pihak lawan.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan bagaimanapun berkata, UMNO sudah kalis menerima apa sahaja tohmahan daripada pemimpin tertinggi Pas tersebut namun mengingatkan pihak yang mungkin kecewa ialah rakyat termasuk pengikut Pas sendiri.

Katanya, kenyataan Nik Abdul Aziz sebelum ini yang mengibaratkan bantuan kerajaan termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat ibarat 'memberi hampas kelapa kepada ayam dan lembu' telah menyedihkan hati ramai penerima yang majoritinya adalah penduduk Kelantan.

"Kita UMNO ini tidak ada masalah sebab dia sudah kata kita macam-macam, dia kata kita kafir, taghut, (doa) K.O., tetapi masalah kepada penerima bantuan, dia mengata kepada semua orang Kelantan termasuklah orang UMNO, Pas, orang atas pagar, itu yang akan menyedihkan mereka.

"Kita orang UMNO kena 'sokmo' dah, tak ada peliknya, kalih dah, dia kata kita sampai kita sudah tidak peduli, kalau dia kata penerima bantuan macam (ayam dan lembu) ini bermakna dia juga kata kepada penyokong parti dia sendiri sebab semua orang terima bantuan, dia tak boleh, dia cakap ikut perasaan, malang sekali apabila ulama cakap ikut perasaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) peringkat Institut Pendidikan Guru (IPG), Kampus Kota Bharu di sini hari ini.

Lebih 2,000 pelajar dan pelatih guru IPG Kota Bharu menerima bantuan BB1M berjumlah RM540,000 pada majlis itu.

Sementara itu, Awang Adek berkata, pemberian bantuan atau subsidi secara langsung kepada golongan sasar adalah pendekatan yang akan terus dipraktikkan kerajaan pada masa depan.

"Penyampaian BR1M di negeri Kelantan sahaja misalnya telah melibatkan 400,000 penerima yang layak, ini semua sumbangan yang diberikan kerajaan kepada rakyat dan menjadi sebahagian program transformasi ekonomi nasional.

"Kita kembangkan ekonomi kita dan pada masa sama, kita tidak lupa golongan yang perlu dibantu supaya jurang antara yang kaya dan miskin dapat dirapatkan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment