My Add

Tuesday 5 March 2013

APMM patah cubaan seludup rokok keretek bernilai lebih RM300,000

ALOR GAJAH, ISNIN, 04 Mac, 2013: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya mematahkan cubaan menyeludup 4,040 karton rokok keretek bernilai RM362,915 dalam operasi di perairan Kuala Sepang Besar, Selangor, hari ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Lima Kuala Linggi, Kapten Maritim Abu Bakar Idris, berkata pihaknya turut merampas sebuah bot gentian kaca dengan dua enjin jenis Yamaha bernilai RM150,000 dalam operasi itu.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, bot peronda APMM yang melakukan Operasi Satria Selatan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan mengesan sebuah bot mencurigakan kira-kira tiga batu nautika dari Kuala Sepang Besar.

"Bot pemintas laju APMM yang dinaiki empat anggota kemudian mengejar dan mengarahkan bot berkelajuan 400 kuasa kuda tanpa nombor pendaftaran itu berhenti untuk pemeriksaan namun tidak diendahkan malah memecut lebih laju ke arah pantai Kuala Sepang Besar," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata, selepas mengejar selama 10 minit, pihak APMM berjaya menahan bot berkenaan, bagaimanapun dua lelaki yang dikesan menaiki bot terbabit berjaya meloloskan diri ke kawasan hutan paya bakau berhampiran.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bot itu, pihak APMM menemui antara 400 dan 500 bungkus plastik mengandungi rokok keretek pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dari negara jiran untuk edaran di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment