My Add

Monday 11 March 2013

Aung Suu Kyi dipilih semula pimpin NLD

YANGON, AHAD, 10 Mac, 2013: Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD), hari ini melantik semula ikon pembangkang, Aung San Suu Kyi sebagai pemimpin parti itu pada kongres pertama parti tersebut, di sini hari ini.

Sumber parti berkata, bekas tahanan politik yang menjadi anggota Parlimen pada tahun lepas, dipilih sebulat suara sebagai pengerusi NLD oleh 120 anggota Jawatankuasa Pusat parti itu.

Beratus-ratus anggota NLD menghadiri kongres tersebut di Yangon bagi menunjukkan kekuatan politik mereka yang tidak pernah ditunjukkan ketika pemerintahan kerajaan junta.

Bagaimanapun, persidangan tersebut mendedahkan beberapa cabaran yang dihadapi parti tersebut, termasuk kekurangan pengalaman serta perpecahan dalaman yang menyaksikan empat anggotanya diharamkan menghadiri kongres itu atas tuduhan cuba mempengaruhi undi.

Suu Kyi, hari ini turut menggesa anggota parti itu menggunakan peluang yang ada bagi mengukuhkan parti untuk mencapai kejayaan lebih besar pada pilihan raya umum pada 2015.

''Demi negara ini, kita perlu bersatu padu dan bekerjasama. Saya minta anda tidak membenarkan kepentingan peribadi mengancam masa depan negara,'' katanya.

Selepas dipinggirkan oleh kerajaan junta sejak dua dekad lalu, NLD menyertai semula arena politik pada tahun lepas ketika kerajaan awam melancarkan reformasi.

Bagaimanapun, beberapa pemerhati mempersoalkan sama ada NLD bersedia mentadbir negara ini yang menghadapi masalah ekonomi, pendidikan dan sistem kesihatan teruk ketika di bawah kerajaan junta. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment