My Add

Friday 8 March 2013

Bakti kecam insiden pencerobohan pengganas Sulu

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Mac, 2013: Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan di Sabah yang mengorbankan lapan anggota pasukan keselamatan negara.

Yang Dipertuanya, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, rakyat tanpa mengira kaum tidak rela mana-mana pihak cuba mengganggu-gugat kesejahteraan dan keamanan negara yang telah lama dipertahankan.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri turut melahirkan rasa sedih dengan insiden berdarah itu dan menyampaikan salam takziah serta simpati kepada seluruh keluarga wira negara yang cedera dan terkorban.

"Saya tersentuh hati dengan nasib balu yang kehilangan suami, anak yang kehilangan bapa serta ibu bapa yang hilang anak mereka.

"Kami bangga dengan pejuang negara dan berterima kasih kepada mereka yang sanggup berjuang demi mempertahankan negara hingga ke titisan darah terakhir," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran program Interaktif Tuisyen Rakyat 1Malaysia (I-TR1M) di sini hari ini.

Menurut Rosmah, beliau tahu dan faham perasaan isteri-isteri anggota keselamatan negara yang begitu bimbang kerana terpaksa 'melepaskan' suami berjuang di perbatasan demi mempertahankan negara.

Malah, katanya, beliau turut berkongsi perasaan sama ketika melepaskan Najib ke Lahad Datu, Sabah pagi ini, untuk meninjau operasi pasukan keselamatan.

Dalam masa sama, Rosmah menasihati generasi muda supaya tidak mudah menggadaikan kestabilan negara demi kelangsungan masa depan mereka. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment