My Add

Sunday 3 March 2013

Bantu parti dekati semua lapisan masyarakat

 *MOHSIN Mohd. Yusof (lima dari kiri) menyerahkan akhbar Utusan Malaysia kepada Mohd. Shukri Hamad sebagai simbolik penajaan 1,500 naskhah Mingguan Malaysia di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis, Kangar, semalam. - MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

KANGAR, SABTU, 02 Mac, 2013: Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis akan memastikan setiap programnya tidak hanya tertumpu pada golongan tertentu sahaja, sebaliknya melibatkan keseluruhan rakyat di negeri ini.

Ketuanya, Mohsin Mohd. Yusof berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan pergerakan tersebut terlepas pandang kumpulan yang telah sedia ada menyokong Barisan Nasional (BN) terutama UMNO.

"Kita tidak mahu kerana mengejar satu kelompok, kita tinggalkan atau kurang beri tumpuan di kawasan 'putih' kerana yakin dengan sokongan mereka kepada parti.

"Sikap ini perlu dielakkan kerana mereka juga memerlukan perhatian, jangan pula nanti seperti kata pepatah 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran'," kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Tajaan 1,500 naskhah akhbar Mingguan Malaysia bernilai RM2,400 oleh Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis untuk diedarkan secara percuma kepada orang ramai sempena lawatan kerja sehari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke negeri ini esok.

Dalam majlis itu, Mohsin yang mewakili pergerakan berkenaan menyerahkan penajaan berkenaan kepada Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Bhd., Mohd. Shukri Hamad di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini.

Sehubungan itu, kata Mohsin, pihaknya akan terus menggerakkan program-program melibatkan pergerakan tersebut untuk membantu parti mendekatkan diri dengan kesemua lapisan masyarakat tanpa meminggirkan sesiapa pun.

"Walaupun kita memberi perhatian kepada pengundi muda atau pengundi atas pagar, kita juga perlu melihat masalah atau kebajikan kelompok lain yang merupakan aset penting kepada negeri dan negara.

"Jadi, kita kena menganggap semua pihak penting, malah menjadi penentu dalam pilihan raya umum akan datang," tambah beliau.

Mengenai program pergerakan tersebut, Mohsin menjelaskan, pelbagai aktiviti telah dijalankan sama ada melibatkan pemimpin atasan atau di peringkat kawasan.

"Banyak aktiviti kita jalankan, selain melibatkan pemimpin, kita buat program seperti melibatkan golongan muda dan sebagainya," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment