My Add

Wednesday 20 March 2013

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM mohon maaf kepada MB Selangor

KUALA LUMPUR, SELASA, 19 Mac, 2013: Kes saman fitnah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, selesai hari ini apabila Menteri Besar Selangor itu menerima permohonan maaf Ahmad Said di Mahkamah Tinggi di sini.

Kenyataan permohonan maaf secara terbuka yang dibacakan Ahmad Said itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Lau Bee Lan.

Kedua-duanya berjabat tangan selepas selesai prosiding kes itu.

Terdahulu, Ahmad Said ketika membacakan kenyataan dalam bahasa Melayu itu berkata beliau memohon maaf kepada Menteri Besar Selangor itu atas kenyataan yang telah diberikan yang kemudiannya diterbitkan pada 21 Feb 2009 oleh pihak media.

Katanya kenyataan itu dibuat atas kapasitinya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada masa itu dan ianya dibuat bagi menjawab soalan dikemukakan kepadanya oleh pihak wartawan berkaitan perkembangan hasil siasatan SPRM terhadap Abdul Khalid dan kenyataan itu juga telah dibuat sebelum kertas siasatan berhubung kes itu dirujuk dan diputuskan oleh Peguam Negara.

"Saya menyatakan segala kenyataan tersebut telah dibuat tanpa sebarang niat jahat dan tanpa mempunyai niat untuk menjejaskan atau menjatuhkan reputasi, imej dan integriti Abdul Khalid," katanya.

Di awal prosiding, peguam S.N Nair, yang mewakili Abdul Khalid memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak defendan (Ahmad Said) akan mengemukakan permohonan maaf secara terbuka di mahkamah.
Katanya kenyataan permohonan maaf itu akan diterbitkan di muka hadapan akhbar New Straits Times dan The Star dalam tempoh empat hari.

Abdul Khalid memfailkan saman fitnah itu pada 27 April 2009 dengan menamakan Ahmad Said dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Saman itu dikemukakan berikutan kenyataan Ahmad Said mengenai hasil siasatan suruhanjaya itu berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh Abdul Khalid berkaitan penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu bagi Hari Raya Aidiladha untuk kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang diwakili Abdul Khalid.

Beliau memohon ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi am dan ganti rugi khas dan juga injunksi untuk menghalang para defendan daripada mengulangi kenyataan memfitnah itu. Beliau tidak menyatakan amaun yang dipohon.

Dalam pernyataan tuntutan, Abdul Khalid mendakwa bahawa kenyataan itu bererti beliau seorang pembohong, tidak berprinsip, rasuah, tidak beretika dan seorang ahli politik yang tidak layak yang telah melakukan kesalahan jenayah.

Ahmad Said dalam kenyataan pembelaannya difailkan pada 31 Julai 2009, menafikan membuat kenyataan fitnah itu terhadap Abdul Khalid, dengan menyatakan beliau melafazkan perkataan-perkataan itu dengan niat baik, tanpa niat buruk hingga merosakkan reputasi Abdul Khalid.

Katanya ketika itu beliau menjawab soalan dari wakil media pada sidang akhbar 20 Feb 2009 mengenai perkembangan siasatan SPRM terhadap dakwaan rasuah dan salahguna kuasa oleh Abdul Khalid dan kenyataan itu dikeluarkan dalam kapasitinya sebagai ketua SPRM bagi memenuhi tanggungjawabnya untuk menerangkan perkembangan siasatan kes itu kepada orang ramai.

Abdul Khalid ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau menerima tawaran permohonan maaf secara terbuka oleh Ahmad Said selepas Ahmad Said menjelaskan bahawa beliau mengeluarkan kenyataan ketika itu atas kapasiti sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan kenyataan maaf itu juga akan disiarkan dalam akhbar New Straits Times dan The Star.

"Saya juga mengambil keputusan untuk tidak menuntut ganti rugi dalam bentuk wang walaupun kenyataan itu telah menyebabkan kerosakan reputasi yang besar kepada saya dan keluarga apatah lagi kedudukan saya sebagai Menteri Besar," katanya.

Ahmad Said dan kerajaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Nadiah Hanim Mohd Tajuddin dan Azlina Rasdi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment