My Add

Wednesday 13 March 2013

Budaya baling telur tidak bertamadun, kebudakan

Oleh AZMAN IBRAHIM  
KUALA LUMPUR, SELASA, 12 Mac, 2013: Budaya membaling telur dan batu ke pihak lawan dalam mana-mana parti politik adalah disifatkan tidak bertamadun, kata Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr. Zaid Ahmad.

Menurut beliau, budaya negatif seperti itu tidak lagi relevan untuk diguna pakai oleh penyokong-penyokong politik pada waktu ini malah ia menggambarkan pemikiran keanak-anakan.

"Jika mahu menyerang pihak lawan dengan lebih bertamadun, adalah lebih baik menggunakan alam maya yang tidak merosakkan harta benda awam.

"Menulis blog, twitter, Facebook kelihatan lebih bertamadun walaupun terdapat penggunaan perkataan-perkataan kasar dan biadap yang mungkin menyinggung perasaan orang lain,’’ katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas sikap biadab dan provokasi keterlaluan penyokong pembangkang pada ceramah Pas yang melontarkan telur ke arah penceramah Barisan Nasional (BN) di pentas berasingan kira-kira 20 meter dari situ, mencetuskan suasana tegang dalam kejadian di Felcra Ayer Hitam di Jempol, Negeri Sembilan, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam itu, ketegangan itu bermula apabila lebih kurang 15 penyokong Pas bertindak membaling telur ke arah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungi Lui, Datuk Zainal Abidin Ahmad di pentas ceramah BN.

Selain terkena lengan Zainal, ia juga terkena badan Presiden Pertubuhan Gerakan Memartabat Perjuangan Negara (GMPN), Mejar (B) Razali Zakaria yang turut sama berada di situ.

Ekoran kebiadaban dan provokasi keterlaluan penyokong-penyokong Pas itu, para penyokong BN pula membalas dengan membaling botol mineral dan objek lain.

Akibatnya, pihak polis terpaksa memanggil pasukan dari Unit Tindakan Ringan (LSF) untuk mententeramkan keadaan di lokasi tersebut. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment