My Add

Wednesday 13 March 2013

Samy Vellu tidak bertanding - Zambry

IPOH, SELASA, 12 Mac, 2013: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menafikan khabar angin bahawa bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu berhasrat bertanding semula di Parlimen Sungai Siput dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti.

Menurut beliau, perkara itu hanya spekulasi pihak tertentu untuk merosakkan perpaduan sekali gus menggagalkan usaha Barisan Nasional (BN) merampas kerusi tersebut daripada pembangkang.

Zambry yang juga Pengerusi BN negeri memberitahu, kehadiran Samy Vellu untuk membantu jentera parti adalah atas kapasiti beliau sebagai bekas pemimpin yang banyak menabur jasa di kawasan tersebut.

"Saya tidak fikir beliau datang ke Sungai Siput untuk jadi calon, sebaliknya untuk membantu BN.

"Ini usaha pihak tertentu untuk menggagalkan (rancangan BN). Macam sayalah, apa benda yang mereka tidak buat spekulasi, macam-macam spekulasi," katanya dalam sidang akhbar selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Menteri Besar di sini hari ini.

Zambry mengulas desakan pihak tertentu yang mahu Samy Vellu kembali bertanding di Parlimen Sungai Siput kerana gembira dengan perkhidmatan yang dicurahkannya sebagai wakil rakyat di kawasan itu sejak 1979.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pembahagian kerusi antara parti komponen BN di negeri ini sudah hampir selesai dilaksanakan hasil perbincangan antara semua parti terlibat.

Menurut beliau, pengagihan kerusi itu akan diputuskan dan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kita tidak ada masalah, semua hampir selesai termasuk kerusi MIC. Tunggu sahaja pengumumannya nanti yang akan dibuat Presiden parti (Perdana Menteri). Setakat ini, perbincangan mengenainya sudah diadakan dan akan berterusan.

"Begitu juga soal calon. Kita lihat dari semua aspek yang mana mengambil kira BN perlukan perubahan dan pembaharuan. Pada masa sama, mungkin ada calon yang berjaya dari segi pencapaian sebagai wakil rakyat, jadi tidak boleh kata hanya faktor umur kita tidak lantik mereka semula," katanya.

Ditanya mengenai perebutan kerusi antara PKR dan Pas di Pasir Salak, Zambry berkata, perkara itu bukan hanya berlaku di kawasan tersebut sebaliknya hampir di semua kawasan di negeri ini.

"Dengarnya di Pangkor pun bergaduh juga, sebab sekarang masing-masing ghairah mahu ke Putrajaya.

"Terbaru, tengoklah bukan lagi rahsia perkara (pergolakan) antara Ngeh (Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham) dengan Kula (Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kulasegaran)," katanya. - UTSAN

No comments:

Post a Comment