My Add

Saturday 2 March 2013

Bukan masa sesuai mencuba pemimpin - Taib

KUCHING, SABTU, 02 Mac, 2013: Mengambil kira suasana dunia, sekarang ini bukanlah masa yang sesuai bagi rakyat Malaysia mencuba pemimpin baharu untuk memimpin negara, kata Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Abdul Taib berkata, pada pandangan beliau tempoh beberapa tahun akan datang juga bukan masa yang sesuai bagi menguji kemampuan pemimpin baharu untuk mengemudi negara ke arah negara maju.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam Tahun Baharu Dewan Perdagangan Cina Bersekutu dan Indsutri Sarawak (ACCIS) di sini malam tadi.

Menurutnya, Malaysia telah melalui saat mencabar pada 1997 apabila negara hampir jatuh dalam kegawatan ekonomi.

Nasib baik Tun Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu Perdana Menteri menghalang percubaan timbalannya yang juga Menteri Kewangan ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan bantuan kewangan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), katanya.

Abdul Taib berkata, jika Anwar berjaya dalam cubaannya pada masa itu, Malaysia kini akan menjadi seperti Indonesia yang menghadapi kejatuhan nilai mata wang, pelabur menarik diri dan rakyat menderita tidak mempunyai pekerjaan.

Beliau berkata pengalaman dan kaedah Malaysia dalam melalui kegawatan tahun 1997 kini digunapakai beberapa negara Eropah untuk menangani masalah ekonomi mereka.

Dalam kes Sarawak, beliau berkata pembangunan di Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) menyaksikan pelaburan lebih RM2 bilion yang kesemuanya dari negara-negara ASEAN.

Beliau juga mahu dewan itu membantu kerajaan dalam menggalakkan lebih ramai menjalani latihan kemahiran untuk memenuhi keperluan tenaga kerja yang ditawarkan di Score. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment