My Add

Saturday 2 March 2013

Buktikan BR1M zalimi rakyat

 *MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan jemaah selepas menunaikan solat
 Jumaat sempena Majlis Jamuan Rakyat di Mukim Tegayong, Kota Bharu,
semalam. - UTUSAN/Irwan Majid

KOTA BHARU, JUMAAT, 01 Mac, 2013:Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pemimpin pembangkang menunjukkan dari sudut mana pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat zalim selepas lebih 60 peratus rakyat negara ini menerima nikmat bantuan itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, BR1M merupakan satu usaha saksama yang dibuat kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan rendah berbanding subsidi yang turut dinikmati golongan kaya.

"Tahun ini di seluruh negara seramai tujuh juta orang menerima BR1M 2.0 dan jika termasuk suami, isteri dan anak-anak, lebih 60 peratus rakyat negara ini memperoleh nikmatnya.

"Jadi apakah ini satu perbuatan zalim, kerja Firaun, haram, atau adakah ini sama dengan kita memberi makanan kepada ayam, itik dan lembu," katanya ketika berucap di hadapan lebih 5,000 penduduk Mukim Tegayong pada Majlis Jamuan Rakyat di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Penyelaras Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Kerajaan Pusat tidak akan menghentikan pemberian BR1M, malah akan diberikan setiap tahun selagi rakyat memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara.

Jelas beliau, meskipun pembangkang melemparkan pelbagai tohmahan terhadap usaha murni itu, namun respons daripada rakyat sangat positif malah ada yang terharu dan menangis sebaik menerima wang itu.

"Saya memberikan BR1M di Johor, ada rakyat yang langsung tidak pernah pegang duit sebanyak RM500, mereka terharu nak beli susu anak dan beban pun berkurangan.

"Kerajaan berikan BR1M kepada rakyat bukan sebab pilihan raya, kalau menang lagi lepas ini ada pula BR1M 3.0, BR1M 4.0 sehingga tahun-tahun akan datang," kata beliau.

Sementara itu, penganjuran program itu di depan Masjid Mukim Tegayong bertujuan mengingatkan rakyat bahawa masjid tersebut yang telah 90 peratus siap dibina adalah hasil usaha Muhyiddin meluluskan peruntukan sebanyak RM1.5 juta lebih setahun lalu.

Sempena kunjungan tersebut, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk membina jejambat di Jalan Melor-Kota Bharu, RM300,000 untuk baik pulih masjid Mukim Aril dan RM100,000 untuk membina dewan bagi masyarakat Siam di situ. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment