My Add

Saturday 2 March 2013

Transformasi ubah landskap sosioekonomi

PEKAN, JUMAAT, 01 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, usaha membawa perubahan yang besar untuk negara tidak boleh dilakukan dengan slogan apatah lagi sekadar menggantung bendera besar sebaliknya terletak pada akal yang merancang, melaksana serta mengisi agenda perubahan.

Menurut Perdana Menteri, sebab itu kerajaan melakukan agenda transformasi nasional yang membawa kepada pelaksanaan pelbagai program seperti Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang terbukti berjaya mengubah landskap sosioekonomi negara secara nyata dalam tempoh empat tahun ini.

''Kalau main slogan saja tak jadi, sekejap negara Islam, tukar negara kebajikan, kemudian timbul balik negara Islam, akhir sekali dalam manifesto tidak ada

''Daripada bendera kecil jadi besar, dari bulan kecil jadi bulan besar, tak jadi apa. Boleh berubah dengan slogan? Tak boleh. Cara mana kalau nak buat perubahan? Jawapannya adalah cara yang dilaksanakan kepimpinan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran RTC Kuala Pahang di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, pada sidang akhbar kemudiannya, Najib berkata, RTC adalah salah satu program yang dapat membuktikan janji rakyat didahulukan kerana pusat tersebut menawarkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung yang memberi manfaat besar kepada penduduk.

Katanya, sebab itu yang penting sekali ialah untuk memberi keyakinan bahawa slogan yang digunakan tidak hanya tinggal sebagai slogan apabila disusuli dengan pelbagai produk dan perkhidmatan.

''Apabila kita kata perkenalkan gagasan 1Malaysia, kita telah dapat memperkenalkan pelbagai produk yang setakat ini ada lebih 230 produk yang ditawarkan kepada rakyat dengan hari ini satu lagi produk diperkenalkan iaitu RTC Kuala Pahang yang menawarkan banyak kemudahan kepada penduduk," jelasnya.

Sementara itu, Najib berharap, pembinaan RTC di Kuala Pahang mampu melonjak pendapatan petani, penternak dan nelayan di kawasan itu selain menambah kuasa beli penduduk apabila mereka dapat membeli barangan pada harga yang lebih murah.

Selain itu, katanya, kawasan Kuala Pahang yang sebelum ini lebih dikenali sebagai perkampungan nelayan diharap dapat berubah wajah menjadi kawasan rekreasi terutama dengan adanya kemudahan seperti kafe yang dilihat akan menjadi tumpuan ramai terutama mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang terletak berdekatan.

''Mereka yang mengunjungi RTC seperti di Kuala Pahang akan mendapat pelbagai perkhidmatan kerajaan dalam keadaan selesa dan di sini juga ada keistimewaannya kerana terdapat Kedai Kain 1Malaysia yang harganya cukup rendah.

''RTC juga telah dapat disiapkan dengan cepat melibatkan perbelanjaan RM3.5 juta dan ini menepati ciri Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu projek yang dilaksanakan mesti memberi impak besar dalam masa pantas dan perbelanjaan minimum," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment