My Add

Wednesday 27 March 2013

Buku Sayangi Kedah Sejahtera: BN Kedah akan jelaskan fakta sebenar

LANGKAWI, RABU, 27 Mac, 2013: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Kedah akan menjelaskan fakta sebenar berhubung 'kejayaan' yang terkandung dalam buku Sayangi Kedah Sejahtera yang dikeluarkan kerajaan negeri Kedah.

Pengerusi BN Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kandungan buku itu tidak menggambarkan keadaan sebenar, terutama berhubung projek pembangunan di Kedah.

"Kita akan jawab apa yang mereka claim (dalam buku itu). Buku itu hanya kerana nak hadapi pilihan raya. Dalam buku itu macam-macam pembohongan... isu Kuin (Kolej Universiti Insaniah), pembangunan, balak, semua tak betul.

"Mereka dakwa bina masjid di Bukit Selambau. Masjid tu saya yang rasmi majlis pecah tanah. Duit daripada Kerajaan Persekutuan 100 peratus. Memang betul masjid itu dibina sewaktu mereka jadi kerajaan tetapi bukan mereka yang keluarkan belanja," katanya di sini.

Ahmad Bashah berkata, tindakan kerajaan negeri yang cuba membohongi rakyat menerusi buku itu tidak akan berhasil kerana rakyat kini lebih bijak untuk menilai kandungan buku itu.

"Nak bohong rakyat, rakyat dah nampak. Rakyat dah tengok, rakyat dah dengar dan rakyat dah tau. Rakyat dah rasa lima tahun mereka memerintah. Rakyat di Kedah kini mengeluh," katanya.

Buku Sayangi Kedah Sejahtera yang diterbit Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah dilancarkan pada 17 Mac lalu dan diedarkan kepada orang ramai secara percuma.

Kandungan buku itu dipertikaikan banyak pihak terutama pemimpin-pemimpin UMNO dan BN kerana fakta yang tidak tepat.

Antara kandungan buku yang menceritakan kejayaan kerajaan Kedah pimpinan Pas itu ialah pembinaan 12 masjid di Kedah iaitu dua pada 2008, satu pada 2010, empat pada 2011 dan lima pada 2012, sedangkan kesemua masjid itu dibina oleh Kerajaan Persekutuan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment