My Add

Friday 8 March 2013

Desak Filipina ekstradisi Jamalul Kiram III

 *SEBAHAGIAN penunjuk perasaan memegang poster dan kain rentang gambar
 Jamalul Kiram III yang dipercayai mengarahkan pencerobohan pengganas Sulu
di Lahad Datu, Sabah berkumpul di hadapan Kedutaan Filipina di Kuala Lumpur,
semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 Mac, 2013: Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO mendesak kerajaan Filipina menyerahkan ketua pengganas Sulu, Jamalul Kiram III untuk dibicarakan di negara ini kerana dipercayai telah mengarahkan pencerobohan bersenjata di Sabah sehingga mengorbankan lapan anggota polis Malaysia.

Pengerusi biro itu, Datuk Muhd. Khairun Aseh berkata, walaupun Jamalul Kiram tidak menyertai pencerobohan di Lahad Datu dan berada di Filipina namun sejak peristiwa itu, dia menunjukkan sokongan melalui beberapa kenyataan.

"Walaupun tidak menyertai pencerobohan, itu tidak bermakna dia tidak buat kesalahan sebab dalam undang-undang kita, dia tetap bersubahat melakukan satu kesalahan," katanya.

Beliau sebelum itu, Muhd. Khairun menyerahkan memorandum permohonan tersebut kepada Konsul Besar Filipina di Malaysia, Maria Antonina Mendoza-Oblena di pejabat Kedutaan Filipina di Jalan Kia Peng hari ini.

Menurut Muhd. Khairun, memorandum itu antara lain mengandungi permohonan ekstradisi bagi membawa Kiram ke Malaysia untuk menjalani hukuman mengikut undang-undang yang ditetapkan negara ini.

"Kami turut mendesak agar Interpol (polis antarabangsa) menyenaraikan dalang kumpulan penceroboh itu sebagai orang dikehendaki di bawah 'notis merah' seterusnya mengeluarkan waran tangkap ke atasnya," kata beliau.

Tambah beliau, pihaknya yakin Interpol dapat menjalankan siasatan secepat mungkin dan membawa dalang yang bertanggungjawab terhadap kematian wira-wira negara ke muka pengadilan.

"Kebanyakan yang dibunuh pasukan keselamatan di Lahad Datu dan Semporna itu hanyalah pengikut justeru, apa yang penting adalah usaha menangkap dalang sebenar di sebalik insiden pencerobohan itu. Walaupun dia telah mengumumkan untuk meletak senjata namun tiada jaminan bahawa dia tidak akan menyerang kita lagi," katanya.

Menurutnya, Pergerakan Pemuda UMNO telah membuat laporan polis ke atas Kiram untuk disiasat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan kedaulatan negara.

Selepas menyerahkan memorandum itu, kira-kira 50 belia mengadakan demonstrasi secara aman di hadapan pejabat Kedutaan Filipina. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment