My Add

Sunday 3 March 2013

Dr. Mahathir cadang Palestin rangka strategi baharu
 
  *DR. MAHATHIR Mohmad diiringi Presiden MYPM, Shahrul Nasrun Kamaruddin (barisan depan, tujuh dari kanan) bersalaman dengan peserta persidangan dari Palestin pada majlis penutup Pergerakan MYPM 'Evolusi Palestin' di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
KUALA LUMPUR, SABTU, 02 Mac, 2013: Pemimpin Palestin perlu menyusun semula strategi dalaman negara itu tanpa menggunakan senjata sebagai jalan terbaik untuk keluar daripada penindasan rejim Zionis sejak lebih 60 tahun lalu.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, antara elemen penting yang perlu ada bagi penduduk Palestin bebas daripada cengkaman Israel adalah aspek memantapkan kepakaran, ilmu dan perpaduan.

Jelas beliau, tanpa aspek tersebut, penduduk Palestin yang kini hanya menumpukan elemen 'serang balik' menggunakan senjata tidak akan berjaya menakluki semula bumi mereka.

"Namun, untuk melakukan penyusunan semula itu bukan perkara yang mudah dan sekejap. Pastinya akan mengambil masa yang panjang tetapi penduduk Palestin perlu bersabar untuk menempuhinya.

"Apa yang kita lihat sekarang, Palestin hanya menggunakan strategi melawan semula. Itu tidak akan berjaya malah dunia juga tidak menyokong tindakan itu kerana ia tidak membawa kepada penyelesaian," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis penutup Pergerakan Belia Malaysia-Palestin (MYPM) 'Evolusi Palestin' di sini hari ini.

Dr. Mahathir percaya, Palestin akan mendapat sokongan penuh masyarakat dunia terutama negara-negara Islam jika mereka melaksanakan strategi yang bijak dengan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyatnya.

Menurut beliau, Palestin seharusnya telah mula mengadakan hubungan baik dengan banyak negara luar menerusi pelbagai skop industri khususnya aspek kepakaran rakyat negara itu.

"Jika Palestin asyik memaparkan kelemahan dan mengharapkan simpati daripada masyarakat dunia, sampai bila-bila pun rakyatnya tidak akan berjaya.

"Tetapi jika penduduk Palestin dapat menonjolkan kelebihan mereka kepada dunia, perasaan simpati masyarakat dunia akan berubah sebaliknya mereka mahu mengiktiraf negara tersebut dan seterusnya mendapat sokongan seperti negara-negara yang meningkat maju," katanya.

Persidangan Malaysia-Palestin itu merupakan usaha kedua-dua negara merangka strategi pembangunan negara selain mencari kaedah bagi mempertingkatkan kemahiran diri dalam berhadapan dengan situasi global.

Seramai 12 wakil belia Palestin telah dijemput bagi berkongsi pandangan bersama-sama dengan belia MYPM yang mewakili Malaysia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment