Fahami perjuangan UMNO yang sebenar - Tengku Azlan
JERANTUT, ISNIN, 11 Mac, 2013: Rakyat terutamanya golongan muda perlu diberi penjelasan seluas-luasnya mengenai perjuangan UMNO yang telah banyak membela bangsa, agama dan negara.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut yang juga Anggota Parlimen kawasan itu, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, pemimpin UMNO sejak dahulu sehinggalah era Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekarang telah melakukan banyak perkara untuk membela rakyat namun masih ramai dilihat tidak bersyukur atau berterima kasih.
"Kita sepatutnya bersyukur kerana mempunyai kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat menyediakan pelbagai kemudahan dan mengekalkan keamanan serta keharmonian di negara ini," katanya ketika berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Umum Ke-13 Parlimen Jerantut di Dataran Mat Kilau, Pulau Tawar di sini.
Turut hadir pada majlis yang disertai lebih 1,000 orang itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail, Ketua Wanita UMNO Jerantut, Datuk Norhelan Mahmud dan Ketua Puteri UMNO Jerantut, Hartini Abdul Rahman.
Tengku Azlan berkata, kegagalan rakyat memahami perjuangan UMNO sejak sebelum merdeka sehingga kini menyebabkan terdapat sesetengah pihak memandang negatif terhadap perjuangan parti itu.
"Kejayaan kerajaan menangani isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah membuktikan bahawa kerajaan sentiasa berusaha membanteras musuh negara dan mengekalkan keamanan seperti yang dilakukan UMNO ketika menuntut kemerdekaan negara pada masa dahulu," katanya.
Menurutnya sikap segelintir anggota UMNO yang tidak lagi berjuang mengikut landasan yang betul turut mempengaruhi masyarakat yang hilang kepercayaan terhadap parti itu.
"Dulu orang UMNO sanggup menggadai nyawa dan harta benda untuk parti kerana darah UMNO mengalir dalam diri mereka, namun sesetengah pihak hari ini pula menjadikan UMNO untuk mendapat kepentingan peribadi," katanya.
Beliau turut berasa terkilan kerana terdapat golongan belia yang tidak memahami perjuangan UMNO begitu mudah diperalatkan pihak pembangkang.
"Kita mahu belia tahu apa itu UMNO dengan fahaman yang jelas dan aktiviti yang diadakan melibatkan golongan muda harus digunakan untuk memperjelaskan perjuangan UMNO dan bukannya sekadar berseronok," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment