My Add

Thursday 14 March 2013

Finas hos Asian Side of the Doc 2013

PETALING JAYA, KHAMIS, 14 Mac, 2013: Malaysia bakal menjadi tumpuan seluruh dunia apabila Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dipilih buat julung kalinya sebagai hos Asian Side of the Doc 2013 (ASD 2013) pada 19 hingga 22 Mac ini.

ASD 2013 adalah acara yang menjadi platform menggabungkan peranan kerajaan, penyiar, penerbit, pengedar dan pembikin dokumentari melalui beberapa pengisian seperti forum, padanan perniagaan serta pemasaran bagi menggalakkan lebih banyak kerjasama produksi antara Asia dan seluruh dunia.

Pengerusi Finas, Md. Afendi Hamdan berkata, acara berprestij yang bakal berlangsung empat hari itu memberi peluang kepada penyiar, penerbit dan pembikin dokumentari tempatan berkongsi idea, seterusnya mendapatkan resolusi terbaik bagi memasar produk dokumentari mereka ke persada antarabangsa.

"Ini merupakan satu peluang keemasan buat penyiar dari stesen penyiaran Malaysia, penerbit dan pembikin dokumentari berkongsi idea dengan negara luar seterusnya bekerjasama dalam soal pemasaran hasil penerbitan dokumentari mereka," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar ASD 2013 malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Bang Singapore, Keiko Bang dan wakil Sunny Side of the Doc yang menjadi penganjur bersama ASD 2013.

Justeru, Afendi berharap dan mengalu-alukan lebih banyak penyertaan penggiat penyiaran dan penerbitan dokumentari tempatan agar tidak melepaskan peluang menimba lebih banyak pengalaman serta membentuk rangkaian melalui acara ini.

Kepada yang berminat, mereka boleh mendaftar melalui laman web www.asiandocumentaries.com atau pada hari pertama penganjuran ASD 2013, dengan yuran penyertaan sebanyak RM500, katanya.

Setakat ini, lebih 100 penyiar dan penerbit dokumentari tempatan menyertai ASD 2013 manakala 409 penyertaan meliputi pelbagai latar belakang penyiaran dan penerbitan dokumentari dari 44 negara termasuk Asia, Eropah, Amerika Selatan dan Timur Tengah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment