My Add

Thursday 21 March 2013

Hukuman kes rogol diperketat

 *GAMBAR fail bertarikh 22 Disember tahun lalu, menunjukkan penunjuk perasaan bertempiaran lari apabila polis melepaskan tembakan meriam air semasa demonstrasi menuntut keselamatan wanita diperketatkan berikutan kes rogol pelajar perubatan di New Delhi, India. - AFP

NEW DELHI, RABU, 20 Mac, 2013: Dewan Rendah Parlimen India, semalam meluluskan satu rang undang-undang mengenakan hukuman berat ke atas pesalah seks, termasuk hukuman mati jika menyebabkan kematian mangsa, selepas berlaku kes rogol berkumpulan ke atas seorang pelajar perubatan di sini.

Rang Undang-Undang Jenayah (pindaan) itu turut mengandungi hukuman baru melibatkan hukuman ke atas perbuatan menghendap, mencabul, mengintai dan serangan asid.

Di bawah rang undang-undang baru itu, hukuman minimum 20 tahun penjara boleh dikenakan bagi kesalahan rogol secara berkumpulan dan boleh dilanjutkan kepada hukuman penjara seumur hidup.

Undang-undang baru itu juga akan memperuntukkan suspek boleh dikenakan hukuman mati jika mangsa rogol meninggal dunia atau koma.

Rang undang-undang itu kini perlu diluluskan oleh Dewan Tinggi Parlimen sebelum dikuatkuasakan.

Seorang anggota Parlimen wanita daripada Parti Shiromani Akali Dal, Harsimrat Kaur Badal berkata, rang undang-undang baru itu merupakan langkah pertama dalam perjalanan yang jauh.

Rang undang-undang itu diluluskan empat hari selepas seorang wanita Switzerland dirogol di negeri Madhya Pradesh.

Satu panel dilantik oleh kerajaan pada Januari lalu mencadangkan undang-undang lebih ketat dilaksanakan selepas pelajar perubatan berumur 23 tahun itu dirogol secara berkumpulan oleh enam lelaki dan diserang dengan batang besi di dalam sebuah bas pada 16 Disember lalu. - AFP/UTUSAN

No comments:

Post a Comment