My Add

Wednesday 27 March 2013

Jabatan Kehakiman Syariah tubuh dua unit atasi isu kekeluargaan

Oleh NUR HANANI AZMAN dan KU MOHD. AMIR AIZAT KU YUSOF
KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Mac, 2013: Yayasan Sokongan Keluarga (YSK) dan Pusat Khidmat Keluarga (PKK) bakal diwujudkan bagi menambah baik dan memperkukuhkan lagi peranan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Ketua Pengarah/Ketua Hakim Syarie JKSM, Tan Sri Ibrahim Lembut berkata, jika peranan BSK hanya tertumpu kepada penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah nafkah, YSK dan PKK pula akan lebih menjurus kepada isu kekeluargaan secara umum.

"YSK dan PKK ini akan menjadi pelengkap kepada BSK itu sendiri kerana matlamat cadangan penubuhan ini bagi menangani permasalahan kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga.

"Dua badan ini juga bertujuan mengurangkan krisis rumah tangga di negara ini," katanya ketika berucap dalam Bengkel Pengukuhan Institusi Kekeluargaan di sini hari ini.

Bengkel anjuran BSK-JKSM itu bertujuan membincangkan hasil Revolusi Kongres Ke-20, Mesyuarat Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-53 bagi mengurangkan krisis rumah tangga.

Yang turut hadir, Ketua Hakim Syarie, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Mohd. Amran Mat Zain dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja BSK-JKSM, Datuk Kamilia Ibrahim.

Menurut Ibrahim, statistik aduan yang diterima di BSK seluruh Malaysia sehingga Disember tahun lalu adalah sebanyak 2,497 aduan.

"Dalam tempoh yang sama juga, sejumlah 2,040 aduan berjaya diselesaikan melalui proses runding cara yang dikendalikan oleh pegawai BSK.

"Ini menjadikan peratusan aduan yang berjaya diselesaikan tanpa perlu melalui proses penguatkuasaan di mahkamah sebanyak 81.7 peratus," katanya.

Sementara itu, Kamilia berkata, fenomena lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang bersandarkan hak asasi manusia dilihat semakin menular dalam masyarakat dan boleh menggugat ikatan kekeluargaan Islam.

"Antara kesan langsung daripada hubungan LGBT ini termasuk penularan penyakit kelamin seperti HIV/AIDS dan sifilis.

"Perkahwinan yang melibatkan golongan LGBT sewajarnya dibubarkan kerana jelas akan memudaratkan pihak terbabit dan harus dipandang serius oleh semua pihak," ujarnya.

Kamilia memberitahu, hal ini diperuntukkan dalam Seksyen 52 (1)(f) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan seorang perempuan dibolehkan menuntut pembubaran perkahwinan atau fasakh jika terbukti suaminya sedang menghidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment