My Add

Wednesday 27 March 2013

23 pelajar tempatan terima biasiswa Jepun

Oleh NURUL AZWA HARIS
KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Mac, 2013: Sebanyak 23 pelajar tempatan telah terpilih untuk menerima biasiswa bagi melanjutkan pengajian di pelbagai universiti di Jepun yang ditawarkan oleh kerajaan Jepun pada tahun ini.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Shigeru Nakamura berkata, sejak diperkenalkan pada 1954, sebanyak 1,500 siswazah Malaysia telah terlibat dalam program kerajaan Jepun-Malaysia itu.

"Penerimaan pelajar Malaysia melanjutkan pengajian ke Jepun merupakan satu langkah bagi mengeratkan usahasama antara kedua-dua negara dan kali ini tiba giliran pelajar yang terpilih (kali ini) untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik ini.

"Saya berharap dengan sumbangan ini, mereka yang terpilih akan melaksanakan peranan dalam usaha membangunkan Malaysia ke arah yang lebih cemerlang pada masa hadapan," katanya ketika berucap dalam majlis Penyampaian Biasiswa Kerajaan Jepun 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Modal Insan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datin Dr. Rosslina Ahmad Mokhtar dan Timbalan Presiden Persatuan Graduan Jepun Malaysia, Yeo Eng Wah.

Sementara itu, Rosslina turut mengharapkan supaya kerjasama erat dapat diteruskan bagi menjamin kemajuan negara terutama dalam bidang sains, teknologi dan sumber manusia.

"Kerjasama antara kedua-dua negara ini merupakan antara usaha selaras dengan Dasar Pandang ke Timur yang telah dilaksanakan Malaysia selama 31 tahun.

"Semoga dengan peluang yang diberikan ini, para pelajar bukan sahaja dapat mempelajari kemahiran serta pengetahuan bidang masing-masing, malah turut membawa pulang etika kerja serta disiplin cemerlang dari negara Matahari Terbit itu," katanya.

Pemilihan para pelajar untuk program tersebut oleh JPA dengan kerjasama Kedutaan Jepun di Malaysia diadakan pada bulan April setiap tahun.

Para pelajar yang terpilih akan menjalani pengajian selama dua tahun di Jepun dengan penerimaan biasiswa sebanyak RM3,800 sebulan untuk pelajar peringkat ijazah sarjana muda dan RM4,700 sebulan untuk pelajar ijazah sarjana. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment