My Add

Friday 15 March 2013

Jadikan HKL hospital ulung

 *Najib Tun Razak menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan oleh Menteri
Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Datuk
 Dr. Zaininah Mohd. Zain (kanan) dalam majlis Perasmian Kompleks Pakar dan
 Rawatan Harian Hospital Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HAFIZ JOHARI

Oleh raja syahrir abu bakar dan rosalinda md. said
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 14 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Kementerian Kesihatan dan warganya berusaha menjadikan Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebagai salah sebuah hospital ulung di dunia dari segi perkhidmatan perubatan serta kemudahan berkaitan demi keselesaan rakyat.

Perdana Menteri berkata, ini kerana HKL yang ditubuhkan sejak lebih 140 tahun lalu merupakan sebuah hospital ikonik dan menjadi tumpuan rakyat negara ini untuk mendapatkan khidmat perubatan.

Oleh yang demikian, katanya, pihak kementerian serta pengurusan HKL perlu berusaha menangani isu serta kesulitan yang terpaksa ditempuhi para pengguna dan pekerja terutama dalam masalah kekurangan tempat letak kereta.

"Kita sudah ada rancangan untuk mewujudkan hospital-hospital yang lain supaya tidak semua pesakit bertumpu di HKL.

"Malah ramai juga mereka yang tinggal berhampiran hospital-hospital baru ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan, namun mereka masih tertumpu dengan HKL kerana sudah sebati dengan warga Kuala Lumpur dan Malaysia keseluruhannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja dan merasmikan Kompleks Pakar dan Rawatan Harian HKL di sini hari ini.

Lawatan tersebut merupakan susulan daripada usaha pembangunan hospital tersebut oleh kerajaan yang menerima peruntukan RM300 juta pada pembentangan Bajet 2012 dua tahun lalu.

Masalah kesesakan tempat letak kereta di HKL yang kini merekodkan 10,000 kenderaan keluar masuk setiap hari dijangka selesai apabila pembinaan tempat letak kereta bertingkat mengandungi 331 lot parkir itu siap Disember ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, setiap agensi dan jabatan kerajaan perlu menjadi ejen transformasi supaya dapat menghasilkan perkhidmatan serta pembaharuan yang menakjubkan.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan telah melaksanakan pembaharuan di terminal bas Pudu Raya yang sehingga kini tidak lagi kelihatan seperti terminal yang berserabut, sebaliknya seperti sebuah lapangan terbang yang lebih baik berbanding lapangan terbang beberapa negara lain.

"Ini bermakna kita boleh membuat transformasi," tegasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment