My Add

Wednesday 27 March 2013

Jamin kelangsungan Mel

*SEBAHAGIAN daripada peserta yang menghadiri Forum Negara: Membina
Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam di Dewan Bankuet,
Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/MOHD. NOOR
 MAT AMIN

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED dan FAIZAH IZZANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR, ISNIN, 25 Mac, 2013: Para cendekiawan Melayu dalam Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini memeterai aku janji untuk membina peradaban bangsa serta negara berteraskan keluhuran peradaban Melayu Islam.

Menggariskan tiga paksi utama, aku janji itu adalah satu kaedah yang wajar dan benar untuk menjamin kelangsungan warisan peradaban bangsa Melayu masa depan selaras keagungannya sepanjang zaman.

Dilafaz dan ditandatangani oleh Setiausaha Agung MPM, Dr. Hasan Mad; Pengerusi Persidangan Tahunan MPM Ke-4, Tan Sri Dr. Kamal Salih dan Ketua Jawatankuasa Penyediaan Waad, Tan Sri Mohd. Yusof Hitam, warkah aku janji itu antara lain menyentuh mengenai pemahaman peradaban Islam berlandaskan tauhid dan syariah.

Aku janji berkenaan dinyatakan sempena Forum Negara: Membina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Peradaban Islam berlandaskan tauhid dan syariah diperkasakan oleh Piagam Madinah yang digunakan Rasulullah SAW dan terserap ke dalam keyakinan serta amalan hidup umat Islam Malaysia dan dalam penggubalan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, perkara itu berpaksi kepada persetujuan meyakini akidah Islam yang bersendikan al-Quran, hadis, ijmak dan qias yang berakar umbi dalam peradaban Melayu selama lebih satu alaf dan menjadi pegangan luhur orang Melayu hingga kini.

Ketiganya, dalam mendepani cabaran era globalisasi, pendekatan misi Melayu harus berpaksikan ciri-ciri Melayu global yang berfikiran futuristik serta bersikap kompetitif dengan kebijaksanaan yang tinggi, berilmu, menguasai teknologi dan jati diri kental.

Oleh itu, bangsa Melayu global juga perlu menghormati kelainan kaum, bangsa dan manusia sejagat.

Dalam aku janji itu juga, MPM menegaskan peradaban Melayu yang berteraskan intisari akhlak serta nilai mulia dengan budi pekerti yang bersopan santun, budi bahasa yang halus dan budi bicara yang berhemah tinggi dengan susunan adat yang sempurna dan sistem kebudayaan lengkap.

Ia wajib sebati dalam jiwa orang Melayu demi kemajuan, kemuliaan, maruah dan keagungan negara dan menjadi prinsip pembinaan peradaban bangsa Malaysia dan sumbangan kepada peradaban dunia sejagat.

"Maka dengan ini diwaadkan bahawa peradaban Islam dan bangsa Melayu adalah sebatian yang sempurna untuk menjadi landasan bagi segala bentuk pemerintahan negara, pembangunan bangsa dan pengurusan seluruh warga negara serta kelangsungan peradaban bangsa dalam menghadapi cabaran dunia sejagat.

"Maka, wajiblah waad ini (aku janji) menjadi peringatan kepada semua anggota bangsa Melayu untuk terus memimpin negara Malaysia ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan yang adil dan saksama, di mana jua mereka berada dengan keyakinan akan taufik, hidayah serta berkat Allah," jelas aku janji berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment