My Add

Wednesday 27 March 2013

Sewa premis kosong RM70,000 sebulan: 1MB lapor polis

Oleh ZABRY MOHAMAD
PULAU PINANG SELASA, 26 Mac, 2013: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), 1Malaysia Brothers (1MB) hari ini tampil membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat kemungkinan terdapat unsur salah guna kuasa oleh pemimpin Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Setiausaha Agung 1MB, Zainuddin Jaafar berkata, pendedahan media mengenai dakwaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menyewa sebuah premis sebanyak RM70,000 sebulan tanpa digunakan ternyata mengejutkan.

Menurutnya, rakyat perlu mendapat penjelasan daripada kerajaan negeri kerana selama ini mereka dikenakan pelbagai caj untuk penggunaan air di rumah dan premis perniagaan.

"Ini merupakan satu pembaziran dengan menggunakan wang rakyat, apa guna menyewa premis pada harga tinggi tetapi hanya ditinggalkan kosong?

"Rakyat benar-benar kecewa dan kami minta polis siasat supaya rakyat khususnya pengguna air mendapat jawapan sebenar," katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden 1MB, Khoo Boo Eam.

Mereka kemudiannya menuju ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri untuk membuat laporan.

Semalam, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir mendedahkan tentang penyewaan sebuah premis kosong di Komtar bagi dijadikan pejabat PBAPP.

Premis tersebut dipercayai disewa oleh PBAPP daripada sebuah syarikat sejak setahun lalu dengan kadar RM70,000 sebulan.

Ini bermakna dalam masa setahun, PBAPP telah membayar hampir RM1 juta kepada syarikat berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment