My Add

Monday 4 March 2013

Jangan terpengaruh manifesto pembangkang: Najib

KANGAR, AHAD, 03 Mac, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat supaya tidak terpengaruh atau menaruh harapan dengan manifesto pembangkang kerana ia bukannya janji yang boleh ditunaikan.

Najib berkata, pilihan raya umum 2008 membuktikan bahawa pembangkang hanya pandai berjanji tetapi gagal melaksanakannya di negeri-negeri yang dikuasai mereka.

"Parti pembangkang naik gusar dengan tema Janji Ditepati sebab kena batang hidung mereka. Seolah tempelak balik kepada mereka," katanya semasa berucap pada program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Perlis di Stadium Utama, Kangar di sini, hari ini.

Menurutnya, pada Pilihan Raya Umum 2008 parti pembangkang membuat pelbagai janji kepada ibu tunggal, suri rumah, warga emas, penghuni flat, peniaga dan lain-lain tetapi masih belum tertunai.

"Sejak terlaksana Dasar Transformasi Nasional empat tahun lalu, ekonomi negara telah berkembang ketika dunia dalam keadaan tidak menentu," katanya.

Katanya, rakyat negara ini menikmati kehidupan yang selesa kerana memilih kerajaan yang berwawasan dan mempunyai perancangan dan pelaksanaan yang berkesan serta teliti dalam membuat keputusan.

Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, kerajaan berjanji mengenai apa yang mampu dilakukan untuk rakyat dan tidak akan berjanji terhadap sesuatu yang tidak berpaksi kepada kenyataan. 

"Tiada apa di dunia yang boleh diberi secara percuma dan apabila janji pembangkang untuk memberi kemudahan secara percuma, ia adalah janji palsu, pembohongan dan angan-angan Mak Jenin," katanya.

Najib berkata, kerajaan BN adalah kerajaan yang menepati janji dan rakyat mengakui mereka telah melihat segala janji kerajaan melalui pembangunan dan program-program di bawah jenama 1Malaysia ditawarkan oleh kerajaan untuk kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Presiden UMNO berharap rakyat tidak menggadaikan kehidupan yang indah di negara ini sebaliknya terus mempertahankan kerajaan yang telah terbukti sentiasa menjaga kepentingan rakyat.

"Kita tak mahu masa depan (rakyat) yang penuh dengan kekecewaaan, tidak menentu dan politik yang tidak stabil. Kita tak boleh yakin dengan manifesto mereka. (Apatah lagi) Pakatan Rakyat belum berdaftar sampai hari ini," katanya.

Katanya, pakatan pembangkang yang menamakan diri sebagai Pakatan Rakyat akan bertanding menggunakan simbol masing-masing dan rakyat boleh persoal sama ada pembangkang boleh mendokong manifesto itu atau sebaliknya.

"Kita boleh tanya siapa Perdana Menteri di kalangan kumpulan mereka. Mereka belum kata dengan jelas sama ada mereka sokong Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai perdana menteri sebab di kalangan mereka pun ada yang minat jadi perdana menteri," katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak boleh meletakkan keyakinan kepada parti politik yang mempunyai haluan masing-masing dan tidak seharusnya menerima pihak yang tidak mempertahankan kesucian agama Islam.

Najib menyifatkan rakyat Perlis amat bijak kerana memilih BN pada Pilihan Raya Umum 2008 dan yakin pada pilihan raya ke-13, Perlis akan terus berada di bawah BN demi masa depan yang lebih cemerlang.

"Satu undi untuk pembangkang bermakna satu undi yang akan menjadikan kita tidak menentu. Jangan gadai (kehidupan yang selesa) dan ambil risiko. Setakat ini tak ada apa-apa tanda yang mereka lebih baik dari kerajaan BN. Kita akan terus bela rakyat Malaysia dan Perlis. Kita janji dan kita dah lakukan (tunaikan)," katanya.

Beliau turut mengumumkan untuk membangunkan 10,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat Perlis dalam tempoh lima tahun akan datang melalui Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Katanya, rakyat Perlis akan menikmati kemudahan itu seandainya mereka terus memberi mandat kepada BN, ia bukan sahaja untuk mengekalkan BN di Perlis tetapi mengekalkan BN untuk menerajui negara ini.

Najib yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut melawat gerai pameran termasuk Gerai E-Perolehan Kementerian Kewangan dan menyampaikan sumbangan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada lima penerima di situ.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan para pemimpin parti komponen BN Perlis. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment