PEKAN, SABTU, 02 Mac, 2013: Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Pekan berikrar memastikan kawasan itu terus menjadi kubu kuat BN dengan memperoleh majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Parlimen Pekan, Datuk Ishak Mohamad, berkata seluruh jentera BN akan memastikan majoriti terbesar BN pada pilihan raya umum lalu yang dicatat di Pekan iaitu sebanyak 26,464 undi, ditambah lagi.

"Sebanyak 4,500 jentera parti akan bekerja kuat bagi memastikan 56 pusat mengundi di kawasan parlimen Pekan terus memihak kepada Barisan Nasional," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan yang "memalu" gendang PRU13 apabila melancarkan jentera BN parlimen Pekan semalam, mencetuskan semangat berkobar kepada setiap jentera pilihan raya parti itu.

"Semalam, Perdana Menteri sendiri sudah menggalaskan tanggungjawab besar kepada jentera parti supaya majoriti parlimen Pekan dipertingkatkan dan seluruh jentera BN Parlimen Pekan berteriak 'Boleh!' melakukannya," katanya.

Beliau berkata, semua jentera parti komponen BN parlimen Pekan UMNO, MCA, MIC dan Parti Progresif Penduduk menggerakkan kerja di akar umbi sejak sebulan lepas bagi memastikan kemenangan besar BN.

"Kita sudah menempatkan jentera BN di semua 56 pusat mengundi bagi mengenal pasti pengundi-pengundi, termasuk pengundi baharu, semua jentera parti juga telah diberi latihan dan penerangan serta kursus-kursus berkaitan supaya mereka faham berkenaan tugas dan tanggungjawab serta peranan masing-masing," katanya.

Katanya, semua bilik gerakan parti juga dilengkapi dengan peralatan dan kemudahan sejak awal Januari lalu bagi memastikan kelancaran kempen pilihan raya umum itu nanti.

Ishak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bebar, berkata jentera parti turut giat bergerak dari rumah ke rumah dan tempat-tempat yang ditentukan untuk memberi ceramah dan penerangan kepada penduduk setempat, khususnya memperjelaskan isu semasa dan fitnah yang ditabur pihak pembangkang.

"Jentera parti BN akan membalas dakwaan pihak pembangkang yang membuat pelbagai dakwaan terhadap dasar kerajaan, kami kini bersiap siaga 100 peratus," katanya.

Beliau berkata, semua jentera BN Parlimen Pekan juga berikrar akan menyokong siapa sahaja yang akan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Pekan itu nanti.

Empat DUN di kawasan parlimen Pekan ialah Peramu Jaya, Chini, Pulau Manis dan Bebar. - BERNAMA