My Add

Sunday 3 March 2013

Hapus atau turun cukai belum tentu harga kereta turun: Mukhriz

ALOR SETAR, SABTU, 02 Mac, 2013: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata penurunan dan pemansuhan cukai kenderaan belum tentu menurunkan harga kereta.

Sebagai contoh, katanya kereta hibrid tidak dikenakan cukai, namun harganya tidak pula diturunkan kerana pengeluar juga perlu mengambil untung.

Menurutnya, kereta hibrid di Amerika Syarikat dikenakan cukai, namun harganya lebih murah kerana pasaran negara itu besar, berbanding Malaysia.

"Harga kenderaan sebenarnya boleh turun tanpa mengurangkan cukai. Jadi, kerajaan berunding dengan syarikat pengeluar kenderaan kerana tahu mereka ada kemampuan menurunkan harga.

"Sekarang ini pun ada perkembangan positif kerana ada syarikat menurunkan harga kereta sehingga RM17,000," katanya ketika diminta mengulas mengenai pemansuhan cukai kenderaan secara berperingkat bermula tahun ini.

Mukhriz ditemui selepas merasmikan Himpunan Komuniti Usahawan TEKUN negeri Kedah dan Perlis di sini.

Turut hadir pengerusi TEKUN, Datuk Suraya Yaacob dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) TEKUN, Adam Abdul Ghani.

Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, berkata kerajaan mengambil kira pelbagai faktor dalam usaha menurunkan harga kenderaan, termasuk kesan ekonomi ke atas negara, syarikat pengeluar, pengusaha industri kenderaan terpakai serta kepentingan pengguna.

"Kita kena imbangi semua ini. Jika rendahkan harga kereta, syarikat tidak untung dan pelabur pula tidak buka kilang di Malaysia. Kesannya ialah ekonomi kita.

"Yang kita tekankan ialah turunkan cukai tanpa mengurangkan kutipan. Cadangan dalam manifesto pembangkang supaya cukai dihapuskan boleh menyebabkan kerajaan kehilangan hasil dan kenderaan terlalu banyak di jalan raya," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment