My Add

Wednesday 6 March 2013

Kerajaan pertahan kalimah Allah

 *Najib Tun Razak menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Perdana Ulama,
 Umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
 - UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD dan TERMIZI CHE ANUAR
KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Mac, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa kerajaan sedia ada akan terus mempertahankan kalimah Allah kerana perkara itu amat berkait rapat dengan usaha memelihara kesucian akidah Islam.

Perdana Menteri berkata, tidak seperti sebuah parti lain (Pas), kerajaan sentiasa istiqamah dalam usaha tersebut apatah lagi langkah mempertahankan kalimah itu terkandung dalam salah satu maqasid syariah iaitu memelihara agama.

Beliau berkata, selama ini pun kerajaan tidak pernah bermain politik dalam isu berkenaan.

''Dalam soal memelihara agama, kerajaan sentiasa mempertahankan akidah, mempertahankan kesucian Islam dan mempertahankan kalimah Allah. Kesemua perkara ini diperjuangkan oleh kita.

''Kita tidak bermain politik dalam perkara-perkara seperti ini. Satu ketika setuju dengan orang lain lepas itu pusing balik tidak setuju,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan 16,000 hadirin ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Perdana Ulama, Umara dan Asnaf di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Zainal Abidin Jaffar.

Najib berkata, selain memelihara agama, terdapat empat lagi maqasid syariah yang sentiasa dititik berat oleh kerajaan iaitu nyawa, akal, keturunan dan harta.

Dalam soal nyawa, beliau berkata, kerajaan telah berusaha mengurangkan indeks jenayah melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bermula tahun 2009 dan tindakan itu sejajar dengan tuntutan maqasid syariah .

Katanya, selepas tiga tahun perlaksanaannya indeks jenayah di Malaysia berjaya dikurangkan sebanyak 27 peratus.

Begitu juga dalam soal akal, Perdana Menteri berkata, pihaknya telah melakukan transformasi pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagi membolehkan bidang itu terus maju seiring dengan dasar transformasi negara.

''Dalam soal keturunan pula, kerajaan memberi penekanan mengukuh budaya murni serta menentang fahaman songsang sepeti seks bebas, sumbang muhram mahu pun lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),'' katanya.

Beliau berkata, meskipun terdapat kelompok yang cuba menghalalkannya namun kerajaan tetap istiqamah dalam memastikan keturunan serta zuriat di negara ini sentiasa terpelihara sebagaimana dituntut oleh maqasid syariah.

''Manakala dalam konteks harta kerajaan beriltizam untuk terus memajukan ekonomi serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hub kewangan Islam di dunia ini.

''Hasilnya, pada tahun lalu kadar pertumbuhan negara berjaya mencapai 5.6 peratus yang mana angka ini adalah antara tertinggi di dunia,'' ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment