My Add

Wednesday 6 March 2013

Amalan wasatiyyah tuntutan ummah, negara

KUALA LUMPUR, SELASA, 05 Mac, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melancarkan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) di Hotel InterContinental Kuala Lumpur di sini Jumaat ini.

Pengarah IWM, Mohd. Yusof Din berkata, penubuhan institut itu bertujuan mengendalikan penyelidikan dan kajian terhadap aspek kesederhanaan dan ekstremis.

"Aspek kesederhanaan itu antaranya adalah dalam bidang agama, undang-undang dan kehakiman, pendidikan, perbankan dan kewangan serta sosial dan kemasyarakatan.

"IWM bergerak atas dasar aspirasi Perdana Menteri ke segenap lapisan masyarakat merangkumi golongan profesional, pemimpin masyarakat, kelompok cendekiawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan pelajar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, institut tersebut akan mengendalikan tujuh program teras antaranya melaksanakan pendidikan berkaitan dengan isu wasatiyyah, mengendalikan siri syarahan perdana wasatiyyah dan melaksanakan program wasatiyyah bersama masyarakat

Teras lain yang turut dikendalikan IWM, katanya, ialah menggerakkan kefahaman wasatiyyah melalui media elektronik, cetak dan sosial, menganjurkan seminar serta dialog kepada kelompok strategik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di samping mengadakan latihan serta kursus kepada golongan tertentu.

Jelasnya, pendekatan sebegitu wajar memandangkan pemikiran masyarakat zaman ini cenderung kepada dua aliran iaitu liberal dan ekstremis.

"Jadi kita hendak pastikan wujudnya pemikiran yang seimbang di antara dua golongan ini dengan penerapan budaya kesederhanaan dalam kalangan mereka," katanya.

Menurut Mohd. Yusof, seminar berkaitan pendekatan wasatiyyah itu turut diadakan pada hari yang sama sebagai pendedahan awal kepada para peserta berkenaan konsep tersebut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment