My Add

Tuesday 12 March 2013

Kerajaan sentiasa istiqamah untuk jadi adil, bertanggungjawab - PM

PUTRAJAYA, ISNIN, 11 Mac, 2013: Kerajaan sentiasa istiqamah untuk menjadi sebuah kerajaan yang adil dan penuh bertanggungjawab tanpa memperjudikan apa-apa keputusan sehingga merosakkan kedudukan dan kewangan negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, jika mahu, kerajaan Barisan Nasional boleh sahaja mengambil sikap populis dengan menjanjikan pelbagai perkara seperti kenaikan gaji dan elaun yang tinggi, tanpa mengira kemampuan kewangan sepertimana yang dicanangkan pihak tertentu.

"Memang kerajaan seperti itu akan menjadi lebih popular, semua akan merasa seronok, teruja tetapi itu hanyalah buat seketika.

"Sebenarnya kita perlu berfikiran waras apa akan jadi kemudian hari nanti, akibat daripada tindakan populis itu," katanya dalam ucapan pada Majlis Perdana Pekhidmatan Awam ke-13 di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat perlu melihat rekod pihak tersebut dari segi menepati janji amatlah buruk, bagi mereka manifesto bukannya janji, kalau manifesto tidak boleh dianggap janji maka buat apa percaya dengan kandungannya.

"Soalnya...sebagai pihak yang mahu memperoleh kepercayaan bagi membentuk kerajaan, perlu berterus terang dengan rakyat bahawa tidakkah pembiayaan semua program mereka memerlukan kepada cukai dinaikkan.

"Amat sukar untuk menilai keikhlasan, namun kita berupaya mengukur kejujuran dengan melihat prestasi rekod mereka yang berjanji. Kalau janji lama pun tidak mampu ditepati atau ditunaikan maka berhati-hatilah dengan janji baru," katanya.

Justeru, Perdana Menteri menyeru penjawat awam khasnya dan rakyat Malaysia amnya menggunakan kuasa dengan sebijak mungkin dan bersama-sama menjayakan serta membentuk negara yang dibanggakan untuk semua.

"Kalau kita bersatu hati, bahu membahu, ganding berganding...Insya-Allah kita mampu membina kehidupan masa depan jauh lebih baik dan janganlah memandang rendah kejayaan yang sudah ada," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment