My Add

Wednesday 27 March 2013

Kerjasama ATM-PDRM jadi faktor kejayaan Ops Daulat - Zulkifli

LAHAD DATU, SELASA, 26 Mac, 2013: Kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pemilihan aset yang betul dan penggunaan taktik bersesuaian antara faktor kejayaan pasukan keselamatan dalam memerangi pengganas Sulu melalui Operasi Daulat.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, kerjasama seumpama itu jarang berlaku di negara lain.

“Kejayaan berlaku kerana kerjasama ATM dan polis yang sangat rapat dan ini jarang berlaku di negara lain. Ini wujud hasil usaha dan kesedaran yang dibuat oleh kepimpinan kedua-dua pasukan," katanya ketika ditemu bual menerusi rancangan siaran langsung Selamat Pagi Malaysia menerusi TV1 hari ini.

Beliau berkata, usaha itu perlu diteruskan dan diutamakan kerana kebersamaan dan kesiapsiagaan adalah penting dalam menjaga kedaulatan negara.

Kerjasama yang dilaksanakan itu sebenarnya bukan suatu yang baharu kerana pernah dilaksanakan ketika negara memerangi komunis sewaktu darurat pada 1948, katanya.

“Umum tahu tugas PDRM adalah menjaga keselamatan dalam negara manakala tugas ATM menjaga pertahanan negara dari ancaman luar.

“Kedua-dua ini diperlukan untuk kestabilan dan keamanan negara," kata Zulkifli.

Mengulas mengenai aset yang digunakan, beliau berkata, pasukan keselamatan mengoptimumkan peralatan yang bersesuaian dengan doktrin yang dilaksanakan sewaktu mengendalikan Operasi Daulat itu.

Menurutnya aset yang ada value for money itu antara faktor kejayaan operasi kerana memudahkan anggota menjalankan tugas mereka seperti membersih dan mengesan pengganas.

Setakat ini, 65 pengganas ditembak mati dan 10 anggota pasukan keselamatan terkorban manakala operasi membersihkan kawasan-kawasan terbabit daripada anasir pengganas kini di peringkat akhir.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment